Ibrah suasana

Setiap pagi, setiap hari-hari bekerja saya melalui lorong yang pada saya seakan-akan mati, lorong yang mempunyai deretan rumah-rumah besar, Kereta-kereta mewah.


Mati bukan kerana penghuninya tiada, mati bukan kerana tiada sebarang aktiviti di situ, mati kerana jiwa penghuninya yang tidak kenal kepada Pencipta mereka


Mereka sibuk berurus niaga, berjual beli memenuhkan perut dengan selera tekak masing-masing.
Seringkali anjing-anjing belaan mengiringi tuannya beraktiviti turut kelihatan.


Namun rohani mereka tenyata kosong tidak berisi, dakwah tidak sampai?? Soalan yang sering menduga hati dan sukma saya.

Jalan yang saya lalui ini adalah jalan pintas ke rumah pengasuh,lebih selesa melalui jalan ini kerana tidak sesibuk jalan biasa. Kerana sentiasa melalui jalan ini, ragam manusia-manusia di sini terakam kemas di memori saya tanpa saya sedar. Mungkin menuntut sedikit kesimpulan jua sedikit pengajaran yang boleh saya simpulkan.


Saya tidak pasti matlamat yang mereka lihat, matlamat mengapa mereka dijadikan, matlamat mengapa mereka hidup dengan cara sekian, sekian. Saya juga tidak pasti apa yang mereka nampak akan hakikat sebenar kehidupan ini.


Yang pasti, saya akan berusaha mencorak, membentuk, mengacu jiwa dan peribadi anak-anak saya, agar mereka kenal pada pencipta, tahu dengan pasti matlamat sebuah kehidupan, tahu akan hakikat kehidupan sebenar di akhirat sana.


Allah…
Bantulah kami dalam membentuk jiwa-jiwa kami
Dalam membentuk jiwa anak-anak kami
Agar sentiasa kekal dalam acuan Mu dan RasulMu
Agar kami terpilih menghuni firdausiMu.
Ameen ya Rabbal ‘alamin.

Terlafaz jua...


Bismillah wal hamdulillah wa bihi nasta’iin.

“ibu” “ibu”

Akhirnya lafaz itu dituturkan jua, laju menusuk masuk ke telinga terus ke hati.
Hati saya berkata betul kea pa yang saya dengar?

Seolah tidak percaya. Sungguh.

Namun tarikh dan detik itu adalah satu saat yang sememangnya saya tidak dapat lupakan. Saat yang saya nantikan sejak sekian lama.

27 Ramadhan 1431 merakam sejarah itu. Dalam usianya setahun enam bulan.

Al Fateh saya dan suami mula memanggil saya dengan dengan gelaran dan panggilan yang saya bahasakan dengannya.

Panggilan yang saya gunakan untuk berbual-bual dengannya sejak dia di alam rahim lagi.

Saya masih ingat, ketika awal kelahiran al Fateh, kalimah yang dituturkannya ialah mak. Awal tangisannya akan dimulai dengan panggilan itu. Bunyinya lebih kurang begini “mmmaaakkk..”

Sehingga saya disapa oleh penghuni wad kanak-kanak sewaktu al fateh dimasukkan ke wad kerana kuning(jaundis) “ eh, dia dah pandai panggil mak”.
Seingat saya sememangnya sebutannya amat jelas. Ramai yang menegur begitu.


Sehinggalah al fateh semakin membesar, panggilan itulah yang dituturkannya. Saya menerima dengan hati terbuka.

Namun saya tetap terus menggunakan panggilan ibu apabila bersembang dan berbual dengannya.

Sehinggakan saya pernah berkata pada suami “abang, agaknya Fateh tak suka panggil inah ibu kot..kan.” Waktu saya suarakan perkara itu semacam ada getaran dalam jiwa saya.


Tak mengapa saya menyedapkan hati. Kerana apa pun panggilannya tetap tidak mengubah status saya sebagai insan yang mengandungkan dan melahirkannya.



Syukur dengan anugerah


Dan alhamdulillah, lafaz ibu dilafazkan jua oleh lidah bermulut mungil itu sejak sekian lama penantian saya. Sesuatu yang kita nantikan dalam tempoh yang lama, apabila Allah anugerahkan, sungguh ‘nikmatnya’ lebih terasa.


Alhamdulillah saya seringkali diuji dengan cara ini. Ini cara didikan yang Allah beri kepada saya untuk terus menghargai nikmat anugerahNya.


Mungkin pada pandangan insan lain perkara ini suatu yang biasa, tidak ada apa-apa yang lain, namun bagi saya, sungguh ianya merupakan satu nikmat dan anugerah!

Bersyukurlah dan hayatilah nikmat anugerahNya sekalipun kita adakalanya melihat ianya tidak ada apa-apa.

Penghayatan kepada sesuatu nikmat itu dan merasa ‘nikmat’nya sesuatu nikmat juga adalah anugerah.

“Baba, baba”. Panggilan ini sudah lama dituturkan al fateh. Seingat saya dalam usianya tidak sampai setahun.

Mana kan tidak, suami saya bila ajar alif ba ta pada al fateh, antara yang diselitkan “ ba alif ba, ba alif ba, baba.”
Lafaz baba pun tidak susahkan untuk dituturkan oleh anak usia al Fateh.

Dan sekarang, apabila menangis atau dia mahu memanggil saya, dia akan menuturkan kalimah ‘ibu’.
Sehingga panggilan itu tidak terlepas dari lidahnya walaupun ketika itu saya tiada bersama..Terima Kasih Allah.


Ya Allah, bantulah kami dalam menghargai dan mensyukuri nikmat anugerahMu.
Mafhum firman Allah” Barangsiapa yang bersyukur, akan kami tambahkan nikmat padanya, dan barangsiapa yang kufur, sesungguhnya azab kami amat pedih.

Sibuknya kita



“kami tak baca majalah”, “saya jenis tak suka baca majalah”

“nantilah lain kali saya beli”

“sibuk sangat, tak sempat nak tengok nanti”…………….

Kita sangat sibukkah…dengan kesibukan kita, pastinya luangan masa untuk ke majis-majlis ilmu tidak ada. Antara cara yang boleh kita guna ialah dengan membaca.
Ya membaca.

Sekalipun tidak dinafikan wujudnya perbezaan di antara membaca dengan guru dan membaca tanpa guru. Akan tetapi s ekurang-kurangnya kita cuba salah satu. Jikalau tak boleh ambil semua jangan tingalkan semua.

Dialog di atas merupakan antara rungutan dan alasan yang diterima apabila kita mencadangkan kepada golongan-golongan ini untuk membaca majalah berunsur ilmiah dan mendidik jiwa.

Membaca majalah lain yang lebih santai sifatnya, adakalanya banyak masa yang boleh diperuntukkan.


Alasan


Kita seringkali memberikan seribu alasan untuk mengelak daripada melakukan perkara kebaikan.

Tempat kerja menganjurkan majlis-majlis pengajian, kita tidak datang dengan seribu alasan.

Majalah-majalah mendidik jiwa juga buku-buku bersifat ilmiah, juga kita pandang sebelah mata, tidak terdetik hati mahu membeli juga denga seribu alasan.

Saya meminjam penyataan pendakwah muda Hilal Asyraf, adakah Allah akan menerima alasa-alasan kita ini, sekiranya alasan-alasan ini kita bentangkan di hadapan Allah kelak?

Adakah jawapan tidak tahu kita kepada pertanyaan Allah merupakan alasan yang kukuh?

Seandainya Alah bertanya kepada kita, mengapa kamu tidak qadha puasa? Kita menjawab aku tidak tahu ya Allah. Kita fikir Allah akan terima?? Sungguh kita benar-benar silap!

Sedangkan sewaktu hidup di dunia, banyak peluang dan ruang yang ada untuk kita menuntut ilmu. Namun peluang tersebut kita gunakan dengan perkara yang pada kita lebih penting.



Fikir


Guna akal, fikir, renung matlamat kita diciptakan.

Bukan untuk bersenang-senang. Bukan saja-saja. Bukan tidak ada apa-apa.

Kita melakukan demonstrasi menentang kekejaman yahudi terhadap rakyat Palestin, akan tetapi dalam masa yang sama dan hakikatnya kita menjayakan dan melaksanakan misi dan visi mereka tanpa kita sedar.

Kita suka kepada hiburan yang melampaui batas, kita asyik dengan dunia yang melalaikan, kita terlibat dalam pergaulan bebas lelaki perempuan (sekalipun di tempat kerja). Kita hanyut dengan dunia fesyen pakaian yang sentiasa berubah. Dan pelbagai lagi contoh mudah yang kita boleh lihat.

Ini antara agenda mereka. Agenda untuk menjauhkan umat Islam dari Islam yang sebenar. Rata-rata kita hanya Islam pada nama, akan tetapi tiada roh,dan penghayatan.

Sebagaimana kita marah mereka yang membuang anak, dalam masa yang sama kita melakukan perkara yang akan menjurus kearah itu. kita keluar berdating dengan pasangan. Kita berbalas mesej dengan yang bukan mahram tanpa apa-apa kepentingan.


Sampai bila??

Allah larang, kita pekakkan telinga dan butakan mata.

Siapa kita untuk menidakkan arahan Allah?

Hebat sangatkah kita? Seekor lalat pun tidak mampu kita cipta………..

Kalian, seandainya kita ingin terus melakukan larangan Allah, carilah bumi selain daripada bumi Allah.

Betapa luasnya kasih sayang Allah, Allah beri masa dan peluang pada kita untuk berubah , untuk bertaubat.

Namuni perlu ingat bahawa ancaman Alah amat pedih.

Kita sendiri menyaksikan bagaimana dasyatnya gempa bumi, dasyatnya ribut, dasyatnya tsunami.

Itu baru di dunia, belum lagi di akhirat sana.

sampai bilakah hati kita mahu dikeraskan?

Sampai bilakah mata kita mahu dibutakan?

Sampai bilakah telinga kita mahu dipekakkan?

Jangan ingat mereka yang berterusan melakukan maksiat itu, akan bahagia. Sesungguhnya Allah akan menarik nikmat dan mendatangkan azab dengan tiba-tiba.

Sebagaimana Allah datangkan azab kepada firaun dan bala tenteranya.

Allah biarkan mereka bergelumang dengan dosa. Allah mahu melihat setakat mana dia berasakan ‘tuhannya’ dia.

Sehingga Alah datangkan azab dalam situasiyang dia tidak sangkakan. Benarlah dan tepat sekali firman Allah dalam al-Quran

182. Dan orang-orang Yang mendustakan ayat-ayat kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit Demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara Yang mereka tidak mengetahuinya.
183. Dan Aku memberi tempoh kepada mereka; Sesungguhnya rancangan balasanKu amatlah teguh.


Penutup


Manfaatkan masa yang Allah anugerahkan. Kerana kita tidak pernah tahu bila masanya aturan pertemuan kita denganNya.

Maaf andainya bahasa yang digunakan agak kasar, kerana kadangkala kasar itu perlu untuk memberi kesan dan bekas. Terasa itu perlu, kerana jika tidak terasa, kita tidak akan berasa untuk berubah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © Tafakkur, tadabbur... | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in