terima kasih abang!

Terima Kasih abang!!
Malam tu suami saya balik lambat,bawa abah(ayah mertua saya) check up ke hospital Columbia asia di taiping.

Seperti biasa selepas pulang dari kerja, saya menyediakan makan malam. Masak yang mudah-mudah.


Masak lemak ikan tenggiri



sayur campur

Sebetulnya hari ahad yang lalu hari ulangtahun kelahiran saya yang ke 29. Tidak ada apa-apa yang istimewa pun. Tambahan pula ayahanda saya masih sakit.

Sekembalinya ke rumah, saya di dapur, tiba-tiba al fateh datang dan bawa pada saya pisau pemotong kek "nah ibu, baba bagi"

saya 'aiks..mana fateh dapat pisau ni...(pisau plastik)?

Fateh " baba" sambil menunjukkan pada baba.

Rupa-rupanya baba belikan kek. Terima kasih baba!






al Fateh al Mujahid

Salam buat semua..

Saya dan suami dalam fatrah(tempoh) peperiksaan. Doakan moga Allah anugerahkan kejayaan buat kami. Moga apa jua yang ditetapkan adalah yang terbaik buat kami. ameen.

Sedikit perkembangan al fateh, dah lama saya tidak menceritakan perkembangan putera sulung seorang ini.

Al Fateh semakin membesar, dan pergerakannya semakin lasak. Anak lelaki kan.
Sebutan patah kata yang keluar dari mulutnya juga semakin lancar alhamdulillah. al fateh boleh dikatakan percakapannya kurang pelat.

Fateh dah boleh menyusun ayat. walaupun ayat yangh dituturkan tidak banyak tapi cukup membuatkan ibu dan baba gembira.

" ibu, qum (bangun)" "baba tido"
Fateh juga semakin mengenali jenis-jenis kenderaan seperti lori, van , bas.
Semakin mengenali gambar siapa yang ditunjukkan padanya. "macik, tok, uwan, masu, baba, ibu"

Juga Fateh semakin menunjukkan minatnya untuk belajar. bagus anak ibu!

Semoga saya dan suami dapat mendidik amanah Allah ini sebaiknya, seperti yang dikehendakiNya.



malam tu masa saya membaca al-Quran Fateh bersungguh mahu membaca, saya ajak dia duduk tepi dengar saya baca, fateh enggan, akhirnya Fateh ambuil sendiri al-Quran ni yang terletak berhampiran.



Semoga semangat ini terus menguasai jiwamu sehingga besar!



"Bila lah Fateh boleh baca al-Quran macam ibu ngan baba ek?"



Masa ni Fateh baru bangun tidur, terus cari buku dengan pensil warna.Tapi sempat lagi bergambar :)

Ibrah suasana

Setiap pagi, setiap hari-hari bekerja saya melalui lorong yang pada saya seakan-akan mati, lorong yang mempunyai deretan rumah-rumah besar, Kereta-kereta mewah.


Mati bukan kerana penghuninya tiada, mati bukan kerana tiada sebarang aktiviti di situ, mati kerana jiwa penghuninya yang tidak kenal kepada Pencipta mereka


Mereka sibuk berurus niaga, berjual beli memenuhkan perut dengan selera tekak masing-masing.
Seringkali anjing-anjing belaan mengiringi tuannya beraktiviti turut kelihatan.


Namun rohani mereka tenyata kosong tidak berisi, dakwah tidak sampai?? Soalan yang sering menduga hati dan sukma saya.

Jalan yang saya lalui ini adalah jalan pintas ke rumah pengasuh,lebih selesa melalui jalan ini kerana tidak sesibuk jalan biasa. Kerana sentiasa melalui jalan ini, ragam manusia-manusia di sini terakam kemas di memori saya tanpa saya sedar. Mungkin menuntut sedikit kesimpulan jua sedikit pengajaran yang boleh saya simpulkan.


Saya tidak pasti matlamat yang mereka lihat, matlamat mengapa mereka dijadikan, matlamat mengapa mereka hidup dengan cara sekian, sekian. Saya juga tidak pasti apa yang mereka nampak akan hakikat sebenar kehidupan ini.


Yang pasti, saya akan berusaha mencorak, membentuk, mengacu jiwa dan peribadi anak-anak saya, agar mereka kenal pada pencipta, tahu dengan pasti matlamat sebuah kehidupan, tahu akan hakikat kehidupan sebenar di akhirat sana.


Allah…
Bantulah kami dalam membentuk jiwa-jiwa kami
Dalam membentuk jiwa anak-anak kami
Agar sentiasa kekal dalam acuan Mu dan RasulMu
Agar kami terpilih menghuni firdausiMu.
Ameen ya Rabbal ‘alamin.

Terlafaz jua...


Bismillah wal hamdulillah wa bihi nasta’iin.

“ibu” “ibu”

Akhirnya lafaz itu dituturkan jua, laju menusuk masuk ke telinga terus ke hati.
Hati saya berkata betul kea pa yang saya dengar?

Seolah tidak percaya. Sungguh.

Namun tarikh dan detik itu adalah satu saat yang sememangnya saya tidak dapat lupakan. Saat yang saya nantikan sejak sekian lama.

27 Ramadhan 1431 merakam sejarah itu. Dalam usianya setahun enam bulan.

Al Fateh saya dan suami mula memanggil saya dengan dengan gelaran dan panggilan yang saya bahasakan dengannya.

Panggilan yang saya gunakan untuk berbual-bual dengannya sejak dia di alam rahim lagi.

Saya masih ingat, ketika awal kelahiran al Fateh, kalimah yang dituturkannya ialah mak. Awal tangisannya akan dimulai dengan panggilan itu. Bunyinya lebih kurang begini “mmmaaakkk..”

Sehingga saya disapa oleh penghuni wad kanak-kanak sewaktu al fateh dimasukkan ke wad kerana kuning(jaundis) “ eh, dia dah pandai panggil mak”.
Seingat saya sememangnya sebutannya amat jelas. Ramai yang menegur begitu.


Sehinggalah al fateh semakin membesar, panggilan itulah yang dituturkannya. Saya menerima dengan hati terbuka.

Namun saya tetap terus menggunakan panggilan ibu apabila bersembang dan berbual dengannya.

Sehinggakan saya pernah berkata pada suami “abang, agaknya Fateh tak suka panggil inah ibu kot..kan.” Waktu saya suarakan perkara itu semacam ada getaran dalam jiwa saya.


Tak mengapa saya menyedapkan hati. Kerana apa pun panggilannya tetap tidak mengubah status saya sebagai insan yang mengandungkan dan melahirkannya.



Syukur dengan anugerah


Dan alhamdulillah, lafaz ibu dilafazkan jua oleh lidah bermulut mungil itu sejak sekian lama penantian saya. Sesuatu yang kita nantikan dalam tempoh yang lama, apabila Allah anugerahkan, sungguh ‘nikmatnya’ lebih terasa.


Alhamdulillah saya seringkali diuji dengan cara ini. Ini cara didikan yang Allah beri kepada saya untuk terus menghargai nikmat anugerahNya.


Mungkin pada pandangan insan lain perkara ini suatu yang biasa, tidak ada apa-apa yang lain, namun bagi saya, sungguh ianya merupakan satu nikmat dan anugerah!

Bersyukurlah dan hayatilah nikmat anugerahNya sekalipun kita adakalanya melihat ianya tidak ada apa-apa.

Penghayatan kepada sesuatu nikmat itu dan merasa ‘nikmat’nya sesuatu nikmat juga adalah anugerah.

“Baba, baba”. Panggilan ini sudah lama dituturkan al fateh. Seingat saya dalam usianya tidak sampai setahun.

Mana kan tidak, suami saya bila ajar alif ba ta pada al fateh, antara yang diselitkan “ ba alif ba, ba alif ba, baba.”
Lafaz baba pun tidak susahkan untuk dituturkan oleh anak usia al Fateh.

Dan sekarang, apabila menangis atau dia mahu memanggil saya, dia akan menuturkan kalimah ‘ibu’.
Sehingga panggilan itu tidak terlepas dari lidahnya walaupun ketika itu saya tiada bersama..Terima Kasih Allah.


Ya Allah, bantulah kami dalam menghargai dan mensyukuri nikmat anugerahMu.
Mafhum firman Allah” Barangsiapa yang bersyukur, akan kami tambahkan nikmat padanya, dan barangsiapa yang kufur, sesungguhnya azab kami amat pedih.

Sibuknya kita



“kami tak baca majalah”, “saya jenis tak suka baca majalah”

“nantilah lain kali saya beli”

“sibuk sangat, tak sempat nak tengok nanti”…………….

Kita sangat sibukkah…dengan kesibukan kita, pastinya luangan masa untuk ke majis-majlis ilmu tidak ada. Antara cara yang boleh kita guna ialah dengan membaca.
Ya membaca.

Sekalipun tidak dinafikan wujudnya perbezaan di antara membaca dengan guru dan membaca tanpa guru. Akan tetapi s ekurang-kurangnya kita cuba salah satu. Jikalau tak boleh ambil semua jangan tingalkan semua.

Dialog di atas merupakan antara rungutan dan alasan yang diterima apabila kita mencadangkan kepada golongan-golongan ini untuk membaca majalah berunsur ilmiah dan mendidik jiwa.

Membaca majalah lain yang lebih santai sifatnya, adakalanya banyak masa yang boleh diperuntukkan.


Alasan


Kita seringkali memberikan seribu alasan untuk mengelak daripada melakukan perkara kebaikan.

Tempat kerja menganjurkan majlis-majlis pengajian, kita tidak datang dengan seribu alasan.

Majalah-majalah mendidik jiwa juga buku-buku bersifat ilmiah, juga kita pandang sebelah mata, tidak terdetik hati mahu membeli juga denga seribu alasan.

Saya meminjam penyataan pendakwah muda Hilal Asyraf, adakah Allah akan menerima alasa-alasan kita ini, sekiranya alasan-alasan ini kita bentangkan di hadapan Allah kelak?

Adakah jawapan tidak tahu kita kepada pertanyaan Allah merupakan alasan yang kukuh?

Seandainya Alah bertanya kepada kita, mengapa kamu tidak qadha puasa? Kita menjawab aku tidak tahu ya Allah. Kita fikir Allah akan terima?? Sungguh kita benar-benar silap!

Sedangkan sewaktu hidup di dunia, banyak peluang dan ruang yang ada untuk kita menuntut ilmu. Namun peluang tersebut kita gunakan dengan perkara yang pada kita lebih penting.



Fikir


Guna akal, fikir, renung matlamat kita diciptakan.

Bukan untuk bersenang-senang. Bukan saja-saja. Bukan tidak ada apa-apa.

Kita melakukan demonstrasi menentang kekejaman yahudi terhadap rakyat Palestin, akan tetapi dalam masa yang sama dan hakikatnya kita menjayakan dan melaksanakan misi dan visi mereka tanpa kita sedar.

Kita suka kepada hiburan yang melampaui batas, kita asyik dengan dunia yang melalaikan, kita terlibat dalam pergaulan bebas lelaki perempuan (sekalipun di tempat kerja). Kita hanyut dengan dunia fesyen pakaian yang sentiasa berubah. Dan pelbagai lagi contoh mudah yang kita boleh lihat.

Ini antara agenda mereka. Agenda untuk menjauhkan umat Islam dari Islam yang sebenar. Rata-rata kita hanya Islam pada nama, akan tetapi tiada roh,dan penghayatan.

Sebagaimana kita marah mereka yang membuang anak, dalam masa yang sama kita melakukan perkara yang akan menjurus kearah itu. kita keluar berdating dengan pasangan. Kita berbalas mesej dengan yang bukan mahram tanpa apa-apa kepentingan.


Sampai bila??

Allah larang, kita pekakkan telinga dan butakan mata.

Siapa kita untuk menidakkan arahan Allah?

Hebat sangatkah kita? Seekor lalat pun tidak mampu kita cipta………..

Kalian, seandainya kita ingin terus melakukan larangan Allah, carilah bumi selain daripada bumi Allah.

Betapa luasnya kasih sayang Allah, Allah beri masa dan peluang pada kita untuk berubah , untuk bertaubat.

Namuni perlu ingat bahawa ancaman Alah amat pedih.

Kita sendiri menyaksikan bagaimana dasyatnya gempa bumi, dasyatnya ribut, dasyatnya tsunami.

Itu baru di dunia, belum lagi di akhirat sana.

sampai bilakah hati kita mahu dikeraskan?

Sampai bilakah mata kita mahu dibutakan?

Sampai bilakah telinga kita mahu dipekakkan?

Jangan ingat mereka yang berterusan melakukan maksiat itu, akan bahagia. Sesungguhnya Allah akan menarik nikmat dan mendatangkan azab dengan tiba-tiba.

Sebagaimana Allah datangkan azab kepada firaun dan bala tenteranya.

Allah biarkan mereka bergelumang dengan dosa. Allah mahu melihat setakat mana dia berasakan ‘tuhannya’ dia.

Sehingga Alah datangkan azab dalam situasiyang dia tidak sangkakan. Benarlah dan tepat sekali firman Allah dalam al-Quran

182. Dan orang-orang Yang mendustakan ayat-ayat kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit Demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara Yang mereka tidak mengetahuinya.
183. Dan Aku memberi tempoh kepada mereka; Sesungguhnya rancangan balasanKu amatlah teguh.


Penutup


Manfaatkan masa yang Allah anugerahkan. Kerana kita tidak pernah tahu bila masanya aturan pertemuan kita denganNya.

Maaf andainya bahasa yang digunakan agak kasar, kerana kadangkala kasar itu perlu untuk memberi kesan dan bekas. Terasa itu perlu, kerana jika tidak terasa, kita tidak akan berasa untuk berubah.

Bakti al Fateh

Buat tatapan mak ndak ashfa dan mak njang hurriyyah di benua afrika sana..
Gambar pahlawan kecil al fateh menolong ibu buat kerja rumah...

Hari nuzul al-Quran tempoh hari, alhamdulilah saya berada sepanjang hari di rumah, cuaca waktu tu agak panas, seperti biasa saya keluar rumah untuk mengangkat kain, al fateh bila pintu di buka, lari menuju ke arah saya, sebab dia memang suka sangat bermain di luar, saya kata " Fateh jangan keluar yer, duduk kat dalam, panas ni.."

Fateh tanpa menghiraukan arahan saya dengan wajah yang seronok berlari keluar.
Saya " Fateh tolong ibu angkat kain yer, Fateh bawa kain ni masuk, Fateh letak atas sofa bed dekat dalam tau".

fateh" jawab dengan bahasa dia dan mengangguk-angguk. saya " ok ta'al bi sur'ah (meh cepat).

Maka Fateh pun melaksanakan seperti diminta. Adalah dalam 4 pusingan Fateh keluar masuk tolong saya angkat kain.

Alhamdulillah, Fateh seorang anak yang sangat-sangat mudah memahami arahan.Walaupun apa yang Fateh jawab ibu tak faham. tapi tindakan Fateh menunjukkan yang dia faham apa yang saya sembangkan dengannya. Saya selalu bersembang dengan Fateh. Apa apa pun. Dan alhamdulillah hasilnya amat-amat memberangsangkan.


Ambil kain dari ibu, baju-baju Fateh pun..



Jalan hati-hati, takut kain jatuh..pandai anak ibu!


Menunjukkan kesungguhannya..



Tanpa merungut walaupun panas....tak pe fateh tak puasa kan..




"Fateh, tengok sini sayang". terus pusing dan senyum :)



Melangkah naik dengan susah payah..



Tanpa memegang pintu, sebab dua-dua tangan penuh.


Dan akhirnya Fateh berjaya tolong ibu. Terima kasih fateh. Sebenarnya masa pusingan kedua Fateh tolong tu, masa nak naik Fateh terjatuh, tapi fateh tak mnangis, Fateh cakap kat ibu:" abis aa". Ibu" heheh tak abis la sayang, ni ada lagi kain ni, tak kotor pun. fateh pun bangun dan sambung semula.


Suka gambarnya ditangkap..



Gambar terbaru Fateh..yang ni sopan, lengkap semua, masa majlis berbuka puasa di Kolej ibu.


Dan alhamdulillah sekarang fateh sudah pandai bercakap, walaupun saya kadang-kadang tak faham apa yang fateh cakapkan. Fateh akan mengikut patah perkataan yang kita ajarkan pada dia dengan baik. Mumtaz anak ibu!

أبيات الحكمة



ولا حزن يدوم ولا سرور
ولا بؤس عليك ولا رخاء


قائله: الشافعي
معناه: الحياة ليست دائمة على الحال، فلا الحزن يستمر، ولا السرور دائم، ولا بؤس يبقى، ولا الرخاء يدوم.

الحكمة: دوام الحال من المحال

Jasa al fateh

masyaAllah…

Debaran hati hanya Dia, Maha Pemilik segala hati yang tahu.

Kisahnya begini..

Pagi itu, sewaktu hampir untuk bertolak ke tempat kerja, berlaku suatu peristiwa yang cukup memberikan saya suatu pengajaran.

Sebelum mengunci pintu rumah, saya memasukkan dahulu al fateh ke dalam kereta. Dan Fateh mahu duduk di tempat pemandu, saya membiarkannya buat sementara waktu, dalam keadaan enjin terpasang, dan saya menutup pintu tidak rapat, tapi saya terfikir kalau-kalau Fateh bersandar dipintu dikhuatiri pintu akan terbuka.

Lantas saya mengambil tindakan menutup rapat. Namun saya masih risau kalau-kalau al fateh tertekan punat kunci, maka dia akan terkunci di dalam, sedangkan saya tidak ada kunci pendua, dalam keadaan saya telah memasukkan beg tangan, telefon bimbit, semua barang-barang penting berada di dalam kereta.

Habis sahaja lintasan tersebut di hati saya, dalam kecepatan saya ingin membuka pintu di bahagian sebelah penumpang hadapan….tup!

Ohh…apa yang terlintas tadi benar-benar terjadi. Subhanallah! Hanya Tuhan yang tahu debaran yang bertandang tanpa diundang itu…..
Namun dalam kerisauan itu hati saya masih mampu untuk bertenang. Saya masih waras untuk berfikir tindakan yang perlu diambil. Saya ketika itu 50-50.


Ikhtiar

Saya berusaha menarik perhatian al Fateh. Namun anak sebesar fateh masih tidak tahu situasi ketika itu. Malah al Fateh amat-amat ceria di dalam. Dia ketawa keseronokan. Mahu menenagkan ibunya mungkin.

Saya menayangkan kunci rumah kepadanya. Dalam masa yang sama menunjukkan isyarat ke arah kunci kereta yang terpasang berhampiran stering kereta. Al Fateh masih gelak-gelak di dalam, menekan punat pelbagai, memasang aircond tahap 2.

Ya Allah al fateh. Saya cuba lagi menarik perhatiannya. Mengisyaratkan dengan kunci rumah dan menunjukkan ke arah kunci kereta yang terpasang itu. Saya memberinya isyarat supaya menutup enjin kereta.

Dahulunya saya pernah merungut pada suami, al fateh sekarang dah pandai tutup enjin kereta. Kalau kitab pasang enjin, dia akan menutupnya kembali. Begitu juga dengan motor.



Sekarang saya sedar, saya amat-amat perlukan kepakarannya itu. Kepakaran untuk menutup enjin kereta.

Kali ketiga saya mengisyarat kepadanya, laju tangannya ke arah kunci kereta…dan tup..enjin dimatikan dan automatic kunci terbuka. Syukur ya Allah. Sukar untuk dibayangkan perasaan saya saat itu.

Terima Kasih fateh, fateh telah tolong ibu akibat kelalaian ibu.
Sungguh, ibu amat-amat berterima kasih. Fateh memang pahlawan ibu.

Suatu Pengajaran

Saya akui, tidak sewajarnya kita sebagai ibu bapa selalai ini. Saya cuba bertindak pantas, namun kepantasan anak kita mendahului kita. Jadi elakkan sebarang tindakan yang punya risiko.

Apa sahaja kemahiran dan kebolehan yang dicapai oleh anak kita, sekalipun pada pandangan kita berbahaya, jangan sesekali meluahkannya dalam bentuk rungutan.

Sewajarnya berdoa, semoga kebolehannya itu dapat dimanfaatkan.

Dan, peristiwa pagi itu, benar-benar menyedarkan saya. Kebolehan al fateh benar-benar membantu saya di saat genting.

Peristiwa pagi itu benar-benar mengajar saya!

Hargai dan doakan sentiasa pencapaian anak-anak ketika, setiap detik, setiap degupan jantung.

Yang Terbaik



Masih saya ingat, pagi hari, waktu tengah sibuk-sibuk berkemas, menyiapkan diri ke tempat kerja, juga menyiapkan al fateh, telinga menangkap butiran hikmah motivasi pagi di ikim fm.

Motivasi yang memberikan saya semangat. Semangat untuk sentiasa memberikan yang terbaik. Motivasi disampaikan oleh ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

Cuma yang saya kesalkan, saya tidak sempat menyalin antara butiran-butiran hikmah tersebut.

Dan Alhamdulillah, saya terjumpa ringkasan yang beliau sisipkan dalam blog beliau. Saya ingin kongsikan bersama di sini. Moga yang baik itu dapat diperpanjangkan. InsyaAllah.

Berikut adalah nota rancangan Motivasi Pagi yang tersiar di Radio IKIM.FM jam 7:30 pagi, Selasa 6 Julai 2010:


-Menyedari akan benarnya sebuah kematian di hujung perjalanan, maka marilah kita menghargai kehidupan ini.

-Biar pun kehidupan di dunia ini sangat pendek, namun ia menentukan kehidupan tanpa sempadan usia kita di Sana nanti. Biar pun kata sesetengah orang hidup ini sementara, namun hakikatnya kesan perbuatan kita kekal selama-lamanya.

Justeru lakukanlah yang terbaik demi menghargai peluang yang ada dalam kehidupan yang singkat ini.

-Sebagai contoh, seorang suami teringin memakan ayam masak merah. Si isteri memasak acuh tidak acuh sedangkan bibik masak dengan bersungguh-sungguh. Tentu sahaja ayam masak merah kedua itu yang lebih menarik perhatian untuk dijamah. Ia adalah fitrah manusia yang memilih segala yang terbaik jika diberi peluang.

-Fitrah manusia sukakan yang terbaik

Namun bolehkah kita mengharapkan yang terbaik jika tidak memberi yang terbaik? Pepatah menyebut, “what you give you get back

-Melakukan yang terbaik adalah semangat Islam dalam semua pekerjaan. Acuh tidak acuh atau budaya melepaskan batok di tangga bertentangan dengan tatacara Islam dalam menilai perbuatan.

Berhakkah Allah menghendaki yang terbaik daripada kita? Sudah tentu kerana Allah telah memberikan yang terbaik kepada kita.

Kontraktor yang dilantik dengan bekalan alat binaan terbaik, pekerja terbaik, sudah tentu majikan menjangkakan hasil yang terbaik.
-لقد خلقنا الإنسان في أحسن تقويم

Siaran ulangan bagi slot Motivasi Pagi ini ialah selepas azan Maghrib pada hari yang sama

Rehlah Ilmu (Part 3)

Khamis, 17 Jun 2010

Alhamdulillah, subuh kami berjemaah bersama-sama di tingkat atas homestay. Memang luas. Boleh dijadikan surau kecil. Selepas solat, ayahanda menyampaikan kuliah subuh.


Cuma saya tidak punya peluang melumati semua yang disampaikan, kerana tidak fokus.
Fokus saya pagi itu kepada al Fateh, pagi itu dia mengamuk dan meragam. Tidak tahu apa puncanya. Mahu perhatian mungkin. Apa pun alhamdulillah.

Selepas bersarapan kawan suami saya sebagai penunjuk jalan membawa kami ke makam seorang ulama' terkenal, Tok Pulau Manis.

Sampai di sana abah memberikan serba sedikit penerangan yang berkaitan dengan ulama' ini.





Beliau adalah keturunan Syeikh Muhamad al Baghdadi.


Pendakwah Islam terawal di Terengganu yang berasal dari Baghdad Beliau adalah antara yang menterjemahkan kitab syarah Hikam. Kitab ini amat-amat bagus.Sebuah kitab Tasawuf.


Arfa Batik dan masjid Terapung


Destinasi seterusnya ialah arfa batik. Sejujurnya kami hanya mencuci mata di sini. Di sini segala jenis fesyen pakaian berasaskan batik ada dijual.Adalah beli dua tiga barang buat kenang-kenangan.



Fateh dilepaskan bebas di sini, dan dia amat-amat seronok!


Selepas itu kami singgah di masjid terapung. Masih seperti dulu, tidak ada banyak beza.






Fateh memilih t.shirt untuk baba





Kami ke Pasar Kepayang untuk membeli sedikit buah tangan, juga destinasi makan tengahari kami.

Petangnya selepas asar kami menuju ke Taman Tamadun Islam.
Masjid Kristal


Saya dan keluarga tak masuk pun,bayarannya boleh tahan mahalnya. Jengok-jengok dan jeling-jeling dari luar sahaja.

Gerai di kawasan perkarangan masjid kristal




malamnya kami singgah di Mydin.
al Fateh ibu sibuk melihat katalog barang:)



Sedikit selingan, tempohari suami ada beli barang-barang dengan kadar yang banyak untuk koperasi sekolahnya:

Saya: abang beli kat mana?
Suami: Pasaraya agama ku. Suami menjawab dengan selamba.
Saya: pasaraya agamaku? ooo macam mini market yer?
Suami: taklah, pasaraya besarlah, pasaraya agamaku.
Saya: Pening...tak pernah dengar pun..
Suami:Tak dapat teka? Mydin laa
Saya: Saya tak terkata, hanya ketawa.tak terfikir pulak.hmm.abang..abang :)



Malam itu semua kepenatan. Saya kemas dan pek-pek semua barang, kerana esok kami akan bertolak pulang awal. Seperti dirancang. Semoga Allah pimpin perjalanan pulang kami.Doa saya sentiasa.

Ceria al Fateh (entri selingan)


Wajah ceria al Fateh ketika demam

Nama pun anak kecil, masih tidak faham apa itu sakit.

Tetap masih mahu bermain walaupun daya tenaga tidak seperti biasa.

Semalam saya ambil cuti, temankan Fateh, belai dia, usap dia, bermain mata dengannya. 24 jam bersamanya. Waktu yang saya sentiasa idam-idamkan, setiap hari.
Walaupun hanya dapat sehari, saya amat-amat menghargainya!

Petangnya demam bertambah baik.

Alhamdulillah! Syukur!

Adakalanya kita perlu bersikap seperti anak kecil. Tidak faham diri itu sakit. Maksud saya tidak terlalu layan dan manjakan sangat diri kita. Kita mesti kuat, dan yang paling penting, ceria!

Macam Fateh.

Anak ibu memang seorang pahlawan! Terima kasih kerana mengajar ibu sesuatu. Terima kasih dan terima kasih.

Rehlah Ilmu (part 2)

Rabu 16 Jun 2010

Subuh di Kelantan, geng-geng lelaki ( abah,abah mertua, suami saya, Rasyid adik ipar, dan adik lelaki saya) solat berjemaah di masjid berhampiran. Sebetulnya mereka berhajat mahu subuh di Pulau Melaka, tapi tak ada rezeki.

Sekembalinya mereka dari masjid bersama juadah pagi. Hasrat hati saya ingin juga menjamah nasi kerabu asli dari Kelantan, tapi tiada rezeki untuk itu. Kami bersarapan bersama-sama.

Alhamdulillah rezeki daripada Allah. Nasi dagang, nasi lemak, nasi lauk ayam kari dan roti telur berkaya. Roti telur berkaya ni memang tak pernah rasa. Orang Kelantan kan, suka manis.

Sejurus selepas itu, kami ke Kampung Pulau Melaka, siapa tahu ada rezeki boleh kami berjumpa dengan Tuan Guru. Walaupun hati mengatakan agak mustahil.
Sampai di sana, kami di sambut oleh seorang pak cik. Amat ramah orangnya. Terima kasih pak cik atas layanan. Saya tidak tahu nama p.cik itu, kerana saya tidak bersama mereka kaum lelaki.








Pasar Siti Khadijah

Kami meneruskan permusafiran singkat kami ke pasar Siti Khadijah. Macam-macam ada. Sampai tak terpilih. Daripada makanan kering, basah, sampai ke pakaian. Ikutkan hati semua mahu disapu, mujur iman menapis semua kehendak ini.




Seterusnya kami ke pantai menjamah sedikit hidangan segar dari laut. Tapi banyaknya tak segar. Sebab kebanyakkannya telah diproses.




Saya dan keluarga di Kelantan Cuma sehari. Tidak ada banyak yang boleh diteroka dan dilawati. Namun syukur atas kesempatan yang singkat ini.

Rehlah Terengganu

Kami kemudiannya meneruskan rehlah ke Terengganu Darul Iman. Mudah-mudahan semua yang bernaung di bawahnya beriman kepada Tuhan yang Esa. Ya, mudah-mudahan, siapa tahu,kan nama tu merupakan doa.

Saya rasa amat-amat bersyukur kerana ayahanda dan bonda menamakan kami anak-anaknya dengan nama yang baik-baik, punya maksud yang baik, seterusnya membentuk akhlak. Terima kasih abah dan mak


sesungguhnya jasa kalian tidak mampu kami hitung, balas apatah lagi. Hanya doa yang mampu kami titipkan di celahan munajat-munajat kami.

Sampai di Jerteh, kami singgah di rumah ibu mertua cikgu Hamdan, guru saya dan suami, juga kenalan abah. Kami di jamu dengan pelbagai hidangan. Alhamdulillah rezeki lagi.




Fateh mengaminkan doa makan





Sebagaimana di Kelantan, kami juga menyewa sebuah homestay di Kuala Terengganu. Cuma homestay di sini rumahnya lebih besar dan bilangan biliknya juga lebih banyak. Padanlah dengan harganya RM250 semalam.. malam itu kami semua tidur dengan angin Terengganu. Pastinya di bumi Allah jua. Mengumpul semula tenaga untuk meneruskan rehlah kami di bumi ini keesokan harinya.

Rehlah Ilmu (Part I)

Alhamdulillah, satu lafaz yang sangat ringkas, akan tetapi mempunyai maksud yang amat-amat mendalam.

Lafaz yang mampu dilafazkan dan amat membutuhkan aplikasi dan manifestasi yang selayaknya.

Syukur ya Allah, dengan izinNya, peliharaanNya, perancangan percutiaan saya dan keluarga berjalan lancar seperti yang dirancang.

Rehlah keluarga saya kali ini ke Kelantan dan Terengganu. Sungguh saya amat-amat merindui bumi serambi mekah itu.

Dihitung-hitung hampir sebelas tahun lamanya saya tidak menjejakkan kaki ke sana.

Selasa 15 Jun 2010

Kami berkonvoi tiga kereta. Sebetulnya saya dan suami, ibu dan ayah mertua bertolak dahulu. Alhamdulillah perjalanan lancar. Kami sampai di Kelantan sekitar jam 3 petang.

Masih sempat untuk kami membeli sedikit di kompleks bebas cukai di Pengkalan Kubur.
Sejurus selepas itu kami bertolak ke Kota Bahru dan sampai waktu maghrib.

Dua kereta lagi mak dan abah dan adik-adik, adik dan suaminya sampai dalam pukul 9 malam. Mereka bertolak agak lambat, dan kebetulan di pertengahan jalan kabus yang agak tebal mengirimkan isyarat supaya berehat sebentar.









Alhamdulillah Allah pelihara perjalanan pergi kami.

Sejujurnya hari pertama ini tiada apa yang mampu dilakukan dan diziarahi kerana badan masing-masing kepenatan, kerana menempuh perjalanan yang agak panjang.

Kami makan malam di sebuah restoran berhampiran. Walaupun makanan yang dipesan agak lambat dihidangkan, mungkin kerana ramainya pelanggan malam itu, namun wajah-wajah ini menunggu dengan sabar.




Kisah putera sulung saya, dia amat-amat seronok, kerana ramai mak-mak sedaranya ada. Dilayan bagaikan putera. Rezeki fateh kan, cucu sulung merangkap anak saudara sulung.


Antara aksi al fateh malam tersebut, kebetulan makanan yang dipesan pak tehnya sampa cepat, dia pun memulakan projeknya....mamam..mamam.. mula mengacau pak teh





Mula gelisah apabila dihalang...






Dan akhirnya terpaksa ditarik keluar..




Dan selepas makan kami pulang ke homestay. Kami menyewa sebuah homestay tiga bilik, dua bilik air, satu malam pada harga RM150 sahaja. Malam itu masing-masing tidur lena. Penat. Maha Suci Allah yang menciptakan malam untuk berehat.

M.E.N.U.L.I.S



Teruslah menulis kerana ianya resam dan tradisi para ulama, peruntukkan sedikit dari waktu kalian yang banyak itu untuk menulis.


Menulislah selagi dikurniakan akal yang sempurna, boleh berfikir, boleh menaakul, boleh membuat perbandingan, boleh membuat analisis. Pendek kata akal itu masih ada dan berfungsi.

Menulislah selagi dianugerahkan nikmat bernafas, degupan jantung yang tiada henti, aliran darah yang lancar, mata yang jernih, untuk melihat dan mengambil pengajaran, kerana alam ini, juga diri kita adalah sumber hidayah juga ilham yang tidak akan pernah habis.


Menulis satu cara untuk berkongsi, untuk memberitahu, untuk menyuarakan pendapat, untuk mencadangkan, untuk membangkitkan semangat mencetuskan motivasi, mencambah pemikiran.




Dahulunya saya seorang yang amat-amat malas untuk menulis. Malas berfikir. Kufurnya saya!

Ia, kufur lawannya syukur. Antara syukur dan kufur, mengapa seringkali kufur yang kita pilih?

Terjemahkan Kesyukuran kita melalui perbuatan. Laksanakan selagi kesempatan masih diberikan.

Siapa tahu, dengan penulisan kita, insan lain tergerak hati ke arah kebaikan, siapa tahu dengan penulisan kita, timbul semangat baru mereka.

Apa yang pasti, saya berusaha untuk terus menulis, walaupun sedikit. Walaupun perkara yang ditulis itu entah apa-apa. Walaupun orang melihat tidak ada apa-apa.

Saya akan terus menulis, kerana ianya tradisi para ulama’. Kehidupan mereka terlalu sibuk, namun mereka masih punya waktu untuk menulis.

Mahu dibandingkan dengan diri saya yang tiada apa-apa ini? Saya seharusnya merasa amat malu dengan mereka.

Menulislah dari hati, untuk sampai dan jatuh jua ke hati.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © Tafakkur, tadabbur... | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in