Pokoknya Akidah!



1)“Wah, cantiknya baba, ibu” spontan keluar dari mulut Fateh.

“A’ah cantikkan Fateh, Ibu cantik tak? Saya menyoal kembali.

“Cantiknya ibu” pantas dijawab Fateh.


“Ibu kenapa kaki ibu dekat situ?” Fateh bersuara tatkala melihat gambar saya dalam keadaan posisi kaki seolah tergantung.”

“Tu kaki baba dekat situ”..

Semua tu reaksi Fateh apabila melihat koleksi gambar hari saya dan suami disatukan sebagai suami isteri empat tahun lepas.

Masa tu Fateh masih belum hadir dalam hidup ibu dan baba.


2) “ Ibu cantiknya rumah tu ibu, cantiknya”

Sebenarnya saya agak terkesima apabila Fateh mengeluarkan penyataan ini.

Sebab rumah yang dikatakan cantik tu sememangnya sebuah rumah yang besar,dan boleh dikategorikan agak mewah.


Cantik pada penilaian anak kecil.

Anak yang berumur dalam lingkungan 2 tahun lebih sudah mampu untuk memberikan penilaian mereka sendiri.

Justeru, amat bahaya sekiranya pada awal usia mereka didedahkan dengan perkara-perkara yang negatif.

Takut seandainya mereka beranggapan perkara tersebut boleh diterima pakai dalam kehidupan.

Seandainya tidak dapat dielakkan, maka dianjurkan diterangkan keburukan perkara tersebut.

Lantaran itulah, penting untuk mengawal apa yang dilihat oleh anak-anak.

Sepanjang pemerhatian saya, apa yang dinilai oleh Fateh itu, objek yang cantik itu sememangnya cantik. Manakala objek yang buruk itu sememangnya buruk. Subhanallah wal hamdulillah!

Ya, itu penilaian mata pancaindera. Belum lagi sampai kepada penilaian mata hati. Penilaian mata hati inilah yang penting.

Sistem nilai yang akarnya akidah yang benar dan mantap yang akan memandu penilaiannya terhadap sesuatu perkara dan seterusnya digambarkan melalui perbuatan.

Seorang perempuan yang cantik tetapi tidak menutup aurat, ya, dia cantik pada penilaian mata.

Namun sebenarnya tidak cantik pada penilaian mata hati. Tidak cantik kerana derhakanya dan angkuhnya dia dalam menentang hukum Allah.

Melihat dan menilai dengan mata hati perlu dilatih seawal mungkin. Melatih dengan melalui memasakkan akidah yang utuh.

Perkara akidah. Akar yang kukuh mana mungkin pokok akan tumbang.

Ianya amat penting. Fasa dakwah Rasulullah s.a.w di Mekah lebih lama dari fasa dakwah baginda di Madinah.

Lamanya tumpuan yang Rasulullah s.a.w berikan untuk memantapkan akidah.

Kerana itu, perkara akidah perlu diberikan fokus utama ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

Apabila akidah sudah mantap, maka perkara-perkara taklifan yang lain akan mudah dipimpin untuk dilaksanakan, seperti solat, puasa dan ibadah-ibadah yang lain.

Kemanisan Iman

Sekiranya saya tidak silap, setiap hari khamis dalam pukul 5.00 petang ada rancangan bersama muallaf di radio ikim.

Adakalanya saya berkesempatan untuk mengikutinya, adakalanya tidak. Namun rumusan yang boleh saya simpulkan, mereka kembali kepada Islam (masuk Islam), dan pengamalan mereka dengan Islam lebih baik jika nak dibandingkan dengan kita yang Islam disebabkan keturunan, mereka jauh dan jauh lebih baik. Semua ini natijah daripada kemanisan iman yang mereka kecapi, juga akidah mereka yang utuh.

Bagitu juga dengan para sahabat zaman Rasulullah s.a.w, mereka amat hebat, hebat dari segala segi.

Hasil daripada mantapnya akidah yang Rasulullah s.a.w pasakkan kepada mereka. Akidah inilah yang membawa mereka berjihad di jalan Allah, akidah inilah yang membuatkan mereka patuh dan taat kepada perintah Allah dalam apa jua keadaan.

Kegelojohan dalam dakwah

Sengaja saya selitkan sedikit topik ini di sini, kerana situasi kita di Malaysia Alhamdulillah, aktiviti dakwah berjalan dengan rancak. Cuma sedikit terkilan, kerana kita lebih suka untuk melihat hasil dalam jangka waktu yang cepat.

Apa yang saya perhatikan, dakwah dilaksanakan dengan baik. Cuma sedikit lompong pada usaha memantapkan akidah. Saya mengambil contoh dakwah di perkampungan orang asli. Selepas kaum orang asli ini di islamkan, mereka diajar terus dengan perkara-perkara tuntutan sebagai seorang Islam.

Program pemantapan akidah kurang diberi perhatian. Sehingga saya pernah diberitahu melalui perbualan dengan mereka yang mungkin pada saya berpengalaman berdakwah di perkampungan orang asli, saya diberitakan bahawa ada mereka yang pada ketika itu sudah kali ke sekian-sekian masuk Islam. Atau dalam erti kata yang lain, sudah banyak kali masuk Islam, kemudian keluar, apabila datang pendakyah kristian, dan masuk semula Islam apabila datang pula pendakwah Islam.

Kesimpulannya, dalam apa keadaan sekalipun, perkara yang mesti diutamakan ialah akidah. Nabi s.a.w mengajar kita melalui sirah baginda. Moga kita tergolong di dalam kelompok yang sentiasa berusaha mengikuti sunnah baginda s.a.w.


Ya Allah, Bantulah kami dalam memanfaatkan masa kecil anak-anak anugerahMu ini dengan mengisi hati dan minda mereka yang suci dengan pengisian yang mengikut acuanMu. Amen.

0 comments:

Catat Ulasan

Saya sangat suka dan sangat hargai komen anda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © Tafakkur, tadabbur... | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in