Lembutnya hati mereka



Beberapa minggu yang lepas, waktu malam, ketika ibu sibuk memasak di dapur, Fateh dan Jawwad bermain di ruang tamu depan.

Apabila penat, mahu makan, mahu minum. Roti masing-masing dibuka. Seperti dapat dihabiskan sebungkus seorang.

Seperti jangkaan ibu, Fateh dan Jawwad tidak habiskan roti-roti tersebut.

Dan secara tidak sengaja, Fateh telah tumpahkan air. Jus mangga.

Ibu pujuk hati, pejamkan mata, sabar…sabar, tarik nafas panjang-panjang.
Maka bermulalah leteran tazkirah ibu.

Ibu ke dapur semula.

Menyambung semula kerja. Fateh dan Jawwad sambung bermain. Ibu minta Fateh kemaskan mainan di ruang tamu.

Tiba-tiba Fateh menjerit :

“Aduh ibu, sakit, telinga Fateh kena bucu kerusi ni, ibu, Tuhan dah buat balasan dekat Fateh…isk..isk..”

Ibu..tergamam dan terharu, juga bimbang seandainya fateh menyangka-yang bukan-bukan pada Allah.

Ibu memujuk Fateh dan berkata” Bukanlah Fateh, Allah tak bagi Fateh balasan pun, Allah tegur Fateh sikit ja.”

Fateh ( angguk-angguk dalam tangisan)

Sebak betul Fateh.

Ibu tidak pula menyangka akan keluar pekataan seperti itu dari mulut Fateh.

Ibu selalu berpesan kepada Fateh, hormat ibu, baba, cikgu, kawan-kawan. Ingat, kalau kita hormat semua orang, Allah akan bagi pahala yang amat banyak, tapi kalau tak hormat, cakap marah-marah, nanti Allah balas.





Bersih sungguh hati anak-anak kecil,sedikit pesanan sangat terkesan di hati mereka!
Adakah hati kita juga selembut mereka.?Ya Allah lembutkanlah hati-hati kami dan hati zuriat-zuriat kami dalam menerima kebenaran. Allahumma Ameen!


Tawadhuk seorang yang berilmu.




Bulan lepas, ibu, baba dan anak-anak ke KUIN. Dengan dua tujuan iaitu untuk berjumpa dengan penyelia tesis ibu, dan yang kedua untuk mengambil baucer buku.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

Apa yang ibu ingin kongsikan di sini ialah sifat tawadhuk yang ditunjukkan oleh penyelia ibu, Dr. Umar Fawwaz.

Tawadhuk bagaimana?

Begini, Usai pertemuan ibu dengan Dr. Umar, ibu, baba dan anak-anak ke masjid bagi menunaikan solat jama’. Sampai di halaman masjid, handset berdering.

Panggilan dari Dr. Umar. Meminta ibu untuk bertemunya sekali lagi bagi memulangkan bab 3 yang hampir separuh disemak.
Dr. Umar memberitahu ibu bahawa beliau akan menunggu ibu di hadapan bangunan perpustakaan. Dengan segera baba membawa ibu semula ke KUIN.

Sampai di sana, kelihatan Dr. Umar menunggu dengan sabar. Betul-betul di hadapan bangunan perpustakaan.

Hakikatnya Dr. Umar kelihatan mahu cepat kerana beliau ada kuliah dengan pelajar pada waktu tersebut.

Baba mengambil kesempatan ketika itu untuk membawa anak-anak ibu yang soleh, Fateh, Jawwad dan Nuha turun bertemu dengan Dr.Umar.

Apa yang Dr.Umar lakukan?

Dr. Umar mencium tangan anak-anak ibu. Yang sewajarnya anak-anak ibu lah kan yang kena mencium tangan Dr. Umar. Tapi Dr. Umar terlebih dahulu mencium tangan kalian.

Sempat lagi bergurau dengan Jawwad, kebetulan Jawwad bawa roti, dan terjatuh,Dr. Umar tolong ambilkan, dan dengan nada bergurau berkata kepada Jawwad, “roti ini untuk saya?( dalam bahasa arab)

Jawwad yang masih kecil seolah faham maksud kata-kata Dr. Umar lalu pantas menjawab “ Awwad nya”

Lalu Dr. Umar berseloroh, Jawwad maknanya pemurah, tapi (merujuk tindakan jawwad tidak mahu memberinya roti) bakhil(kedekut). Lalu tercetus ketawa.

Pertemuan berakhir di situ.

Setiap kali pertemuan Ibu dengan Dr. Umar, titipan pesanan ini yang sering dibekalkan:

“Doakan saya sebagaimana kamu doakan untuk kamu dan keluarga kamu dengan apa yang kamu suka dunia dan akhirat.”
Dr. Umar, kamu sangat Tawadhuk. Semoga sifat ini dapat ibu amalkan apabila berinteraksi dengan para pelajar ibu, InsyaAllah. Allahumma Ameen!

Apabila mengajar anak mengaji...



Seperti biasa,selepas maghrib adalah waktu untuk Fateh dan Jawwad mengaji.

Kebiasaan Fateh, apabila ibu mengajar patah perkataan, fateh akan bertanya, maka sesi mengaji akan menjadi lama.

Fateh baca : غَ سَ لَ ( Gha sa la), ibu gha sa la tu apa?

Ibu: oh ghasala tu basuh.

Fateh: oh basuh baju, basuh pinggan,basuh kereta ya ibu..?

Ibu: Ya, ok Fateh, cepat baca pula lepas tu apa?

Fateh: Su Ghi Ra , ibu sughira tu apa?

Ibu: Sughira tu kecil..

Fateh: ooo..kecil apa ibu?

Ibu: kecil tu macam Fateh la, Fateh, Jawwad kecil, ibu besar

Fateh:ooooo

Ibu: ok lepas tu apa Fateh

Fateh: Qa Ha Ra (قَ هَ رَ) ibu, Qa Ha Ra tu apa? Eh ibu tak baik cakap kau (merujuk kepada Qa )

Ibu: Oh a’ah..

Tajam ingatan anak-anak kecil,apa yang diajarkan,semua diingat. Sehinggakan yang hampir kepada sebutan pun dianggap tidak boleh.

Anak-anak dalam usia begini sangat suka bertanya. Fateh juga begitu. Jawwad masih belum menunjukkan minat seperti Fateh. Tapi suka duduk tepi abang dan baca buku Furqannya.

Ya Allah, bantulah kami dan kurniakanlah kesabaran kepada kami dalam mendidik amanah anugerahMu ini.

Maafkan ibu


Assalammualaikum...

Pagi tadi sebelum ke Pasti,

Fateh:Ibu,Fateh nak bawa bekal (sambil buka peti ais,melihat apa yang ada untuk dibawa)

Ibu: oo,Fateh bawa kek ya,makan dengan kawan-kawan nanti.

Fateh: ok

Tiba-tiba menyelinap perasaan sedih dan terkilan...

Ya Allah, sebuah teguran halus buat diri ibu. InsyaAllah, ibu akan sediakan bekal buat Fateh selepas ini. Sebelum ini kalau Fateh ke Taska, memang ibu bekalkan makanan, cuma sejak ibu bersalinkan adik Nuha, ibu seolah sukar menguruskan tugasan ibu.

Anak-anak ibu yang soleh dan solehah,tradisi mak tok akan ibu teruskan, membekalkan makanana hasil air tangan ibu..Doakan ibu ya!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © Tafakkur, tadabbur... | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in