Rehlah Ilmu (part 2)

Rabu 16 Jun 2010

Subuh di Kelantan, geng-geng lelaki ( abah,abah mertua, suami saya, Rasyid adik ipar, dan adik lelaki saya) solat berjemaah di masjid berhampiran. Sebetulnya mereka berhajat mahu subuh di Pulau Melaka, tapi tak ada rezeki.

Sekembalinya mereka dari masjid bersama juadah pagi. Hasrat hati saya ingin juga menjamah nasi kerabu asli dari Kelantan, tapi tiada rezeki untuk itu. Kami bersarapan bersama-sama.

Alhamdulillah rezeki daripada Allah. Nasi dagang, nasi lemak, nasi lauk ayam kari dan roti telur berkaya. Roti telur berkaya ni memang tak pernah rasa. Orang Kelantan kan, suka manis.

Sejurus selepas itu, kami ke Kampung Pulau Melaka, siapa tahu ada rezeki boleh kami berjumpa dengan Tuan Guru. Walaupun hati mengatakan agak mustahil.
Sampai di sana, kami di sambut oleh seorang pak cik. Amat ramah orangnya. Terima kasih pak cik atas layanan. Saya tidak tahu nama p.cik itu, kerana saya tidak bersama mereka kaum lelaki.








Pasar Siti Khadijah

Kami meneruskan permusafiran singkat kami ke pasar Siti Khadijah. Macam-macam ada. Sampai tak terpilih. Daripada makanan kering, basah, sampai ke pakaian. Ikutkan hati semua mahu disapu, mujur iman menapis semua kehendak ini.




Seterusnya kami ke pantai menjamah sedikit hidangan segar dari laut. Tapi banyaknya tak segar. Sebab kebanyakkannya telah diproses.




Saya dan keluarga di Kelantan Cuma sehari. Tidak ada banyak yang boleh diteroka dan dilawati. Namun syukur atas kesempatan yang singkat ini.

Rehlah Terengganu

Kami kemudiannya meneruskan rehlah ke Terengganu Darul Iman. Mudah-mudahan semua yang bernaung di bawahnya beriman kepada Tuhan yang Esa. Ya, mudah-mudahan, siapa tahu,kan nama tu merupakan doa.

Saya rasa amat-amat bersyukur kerana ayahanda dan bonda menamakan kami anak-anaknya dengan nama yang baik-baik, punya maksud yang baik, seterusnya membentuk akhlak. Terima kasih abah dan mak


sesungguhnya jasa kalian tidak mampu kami hitung, balas apatah lagi. Hanya doa yang mampu kami titipkan di celahan munajat-munajat kami.

Sampai di Jerteh, kami singgah di rumah ibu mertua cikgu Hamdan, guru saya dan suami, juga kenalan abah. Kami di jamu dengan pelbagai hidangan. Alhamdulillah rezeki lagi.




Fateh mengaminkan doa makan





Sebagaimana di Kelantan, kami juga menyewa sebuah homestay di Kuala Terengganu. Cuma homestay di sini rumahnya lebih besar dan bilangan biliknya juga lebih banyak. Padanlah dengan harganya RM250 semalam.. malam itu kami semua tidur dengan angin Terengganu. Pastinya di bumi Allah jua. Mengumpul semula tenaga untuk meneruskan rehlah kami di bumi ini keesokan harinya.

Rehlah Ilmu (Part I)

Alhamdulillah, satu lafaz yang sangat ringkas, akan tetapi mempunyai maksud yang amat-amat mendalam.

Lafaz yang mampu dilafazkan dan amat membutuhkan aplikasi dan manifestasi yang selayaknya.

Syukur ya Allah, dengan izinNya, peliharaanNya, perancangan percutiaan saya dan keluarga berjalan lancar seperti yang dirancang.

Rehlah keluarga saya kali ini ke Kelantan dan Terengganu. Sungguh saya amat-amat merindui bumi serambi mekah itu.

Dihitung-hitung hampir sebelas tahun lamanya saya tidak menjejakkan kaki ke sana.

Selasa 15 Jun 2010

Kami berkonvoi tiga kereta. Sebetulnya saya dan suami, ibu dan ayah mertua bertolak dahulu. Alhamdulillah perjalanan lancar. Kami sampai di Kelantan sekitar jam 3 petang.

Masih sempat untuk kami membeli sedikit di kompleks bebas cukai di Pengkalan Kubur.
Sejurus selepas itu kami bertolak ke Kota Bahru dan sampai waktu maghrib.

Dua kereta lagi mak dan abah dan adik-adik, adik dan suaminya sampai dalam pukul 9 malam. Mereka bertolak agak lambat, dan kebetulan di pertengahan jalan kabus yang agak tebal mengirimkan isyarat supaya berehat sebentar.









Alhamdulillah Allah pelihara perjalanan pergi kami.

Sejujurnya hari pertama ini tiada apa yang mampu dilakukan dan diziarahi kerana badan masing-masing kepenatan, kerana menempuh perjalanan yang agak panjang.

Kami makan malam di sebuah restoran berhampiran. Walaupun makanan yang dipesan agak lambat dihidangkan, mungkin kerana ramainya pelanggan malam itu, namun wajah-wajah ini menunggu dengan sabar.




Kisah putera sulung saya, dia amat-amat seronok, kerana ramai mak-mak sedaranya ada. Dilayan bagaikan putera. Rezeki fateh kan, cucu sulung merangkap anak saudara sulung.


Antara aksi al fateh malam tersebut, kebetulan makanan yang dipesan pak tehnya sampa cepat, dia pun memulakan projeknya....mamam..mamam.. mula mengacau pak teh





Mula gelisah apabila dihalang...






Dan akhirnya terpaksa ditarik keluar..




Dan selepas makan kami pulang ke homestay. Kami menyewa sebuah homestay tiga bilik, dua bilik air, satu malam pada harga RM150 sahaja. Malam itu masing-masing tidur lena. Penat. Maha Suci Allah yang menciptakan malam untuk berehat.

M.E.N.U.L.I.S



Teruslah menulis kerana ianya resam dan tradisi para ulama, peruntukkan sedikit dari waktu kalian yang banyak itu untuk menulis.


Menulislah selagi dikurniakan akal yang sempurna, boleh berfikir, boleh menaakul, boleh membuat perbandingan, boleh membuat analisis. Pendek kata akal itu masih ada dan berfungsi.

Menulislah selagi dianugerahkan nikmat bernafas, degupan jantung yang tiada henti, aliran darah yang lancar, mata yang jernih, untuk melihat dan mengambil pengajaran, kerana alam ini, juga diri kita adalah sumber hidayah juga ilham yang tidak akan pernah habis.


Menulis satu cara untuk berkongsi, untuk memberitahu, untuk menyuarakan pendapat, untuk mencadangkan, untuk membangkitkan semangat mencetuskan motivasi, mencambah pemikiran.




Dahulunya saya seorang yang amat-amat malas untuk menulis. Malas berfikir. Kufurnya saya!

Ia, kufur lawannya syukur. Antara syukur dan kufur, mengapa seringkali kufur yang kita pilih?

Terjemahkan Kesyukuran kita melalui perbuatan. Laksanakan selagi kesempatan masih diberikan.

Siapa tahu, dengan penulisan kita, insan lain tergerak hati ke arah kebaikan, siapa tahu dengan penulisan kita, timbul semangat baru mereka.

Apa yang pasti, saya berusaha untuk terus menulis, walaupun sedikit. Walaupun perkara yang ditulis itu entah apa-apa. Walaupun orang melihat tidak ada apa-apa.

Saya akan terus menulis, kerana ianya tradisi para ulama’. Kehidupan mereka terlalu sibuk, namun mereka masih punya waktu untuk menulis.

Mahu dibandingkan dengan diri saya yang tiada apa-apa ini? Saya seharusnya merasa amat malu dengan mereka.

Menulislah dari hati, untuk sampai dan jatuh jua ke hati.

Cahayamata

Bahagia menimang cahayamata pertama masih belum hilang, bahkan bahagia ini akan terus berkembang dengan izinNya


Al Fateh 3 bulan


Al Fateh 7 bulan


Al Fateh 9 bulan

Al Fateh sedang membesar dan semakin hari banyak perkara baru yang dia belajar secara langsung atau pun tidak, ada yang saya sedari, ada yang di luar pengetahuan saya. Namun saya tahu, syukur yang saya persembahkan kepada Yang Esa amat-amat sedikit dibandingkan dengan anugerah nikmatNya yang terlalu besar.



Mula makan dan minum sendiri





Betulkan, kita selalu meminta macam-macam dari Allah, Tuhan yang Maha Pemberi, akan tetapi, nikmat yang telah dianugerahkan kepada kita, pun belum habis kita syukuri. Penterjemahan makna syukur itu terlalu besar makna dan aplikasinya.

Seronok mendengar perkhabaran daripada sahabat-sahabat juga kenalan. Perkhabaran akan bertambahnya ahli dalam keluarga. Rasulullah kan berbangga dengan umat yang ramai.

Buat masa ini, al Fateh adalah putera sulung. Akan menyusul? Semuanya dalam ilmu dan perancangan Allah. Tanyalah pada mana-mana ibu, siapa yang tidak mahu anugerah dan amanah ini, Cuma segalanya bergantung kepada susunan perancanganNya Yang Maha Bijaksana.

Buat mereka yang masih belum direzekikan dengan anak, usah bersedih, kerana ini semua diluar kuasa kita. Kita mampu berusaha dan terus berdoa. Ya doa.

Doa adalah senjata mukmin. Allah amat-amat suka kepada hamba-hambaNya yang meminta. Bahkan Allah ‘marah’ pada hamba-hambaNya yang tidak meminta.

Teruslah berdoa. Kerana Allah suka hamba-hambaNya selalu hampir dan merayu padaNya.

Nikmatnya hamba

‘Hamba’, satu istilah yang agak sensitif, kita akan marah andainya orang menggelarkan kita hamba, hamba kepada si polan, hamba kepada bos, hamba kepada taukeh sekian-sekian.

Akan tetapi, bilamana digelar hamba Allah, kita merasa bahagia, malah berbangga. Sekelumit pun tidak ada perasaan marah.

Nikmatnya anugerah hamba itu. Maka, kerana istilah hambalah, kita tidak punya hak untuk memaksa Allah tunaikan permohonan-permohonan kita.

Pernah atau tidak kita terfikir, adakalanya doa kita sehari-sehari. Kita memohon, seolah-olah memaksa. Walaupun bukan dengan niat.

Saya juga berharap dianugerahkan cahayamata lagi, Cuma saya berserah kepada aturanNya yang bijaksana. Yang penting, tanggunggjawab kita kepada anugerahNya itu, anak adalah amanah.

Tatkala disebut amanah, bukan calang-calang tanggungjawab.

Amat-amat berat.

Amanah yang kita perlu didik supaya kenal kepada Penciptanya, utusan-utusanNya, didik supaya patuh pada perintahNya, didik supaya tinggalkan laranganNya, didik untuk berjuang dijalanNya, didik dengan akhlak-akhlak Islam, bukan ‘akhlak’ Yahudi dan Nasrani.

Terlaksanakah sudah amanah-amanah ini? Juga amanah ini juga yang akan disoal di hari masing-masing mengutamakan diri sendiri. Bersediakah kita?

Ya Allah, nikmatnya anugerahMu ini, dan beratnya amanah anugerah ini, Bantu dan permudahkanlah bagi kami. Ameen Ya Rabbal 'alamin.

Antara kebahagian saya: Cloth Diaper



Alhamdulillah, Cloth diaper (CD) atau lampin kain moden yang saya pesan dari Little Precious Garden telah selamat diterima.

Saya memakaikan al Fateh dengan CD sejak usianya 5 bulan.




Dan semestinya antara rutin harian saya setiap hari adalah membasuh CD. Secara jujurnya saya rasakan ianya adalah suatu perkara yang membahagiakan.

Bahagia berCD?

Ya, bahagia.

Merasa terbeban? Sama sekali tidak. Kerana lampin kain moden ini amat mudah diuruskan. Maklumat tentang kebaikan lampin kain boleh dirujuk di sini dan sini juga sini.

Mengapa saya merasa bahagia?

1. Kerana saya dapat menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar. Alam adalah anugerah Allah yang amat berharga. Kita berjalan, berlari, berehat, bersenam, beraktiviti dengan alam. Alam yang tidak sihat akan membantutkan segala aktiviti kita.

2. Bajet untuk membeli lampin pakai buang setiap bulan dapat saya manfaatkan kepada yang lain. Sekaligus membantu saya dan suami mengelakkan pembaziran. Saya tidak mengatakan bahawa mereka yang menggunakan lampin pakai buang itu membazir, tetapi kalau ada pilihan yang lebih bijak, mengapa tidak kita menggunakannya.

3. Semua ibu mahu yang terbaik buat anak mereka. Begitu juga saya. Saya merasakan bahawa pemakaian lampin kain adalah yang terbaik buat al Fateh. Kualiti kesihatannya dapat saya maksimumkan. Anak saya kulitnya amat-amat sensitif. Tiada lagi ruam lampin, risiko jangka panjang pemakaian lampin pakai buang dapat dielakkan.

Saya bahagia kerana dapat menyumbang kepada alam walaupun sedikit. Sedikit daripada saya, sedikit pula daripada yang lain inilah yang akan menjadi besar.

Masing-masing menyumbang. Sumbangan kita walaupun kita anggap remeh, seolah tiada sebarang nilai, namun di sisi Allah kita tidak menduga nilainya bagaimana. Kadang-kadang apa yang kita anggap remah itu besar nilainya di sisi Allah. Kerana amalan kita walaupun sebesar zarah ada ganjarannya di sisi Allah.


Kisah burung.

Saya sering teringat kisah burung yang berusaha membantu memadamkan api yang membakar nabi Allah Ibrahim a.s.

Cuba kita amati, dengan paruhnya yang kecil itu, dia berusaha mengangkut air berulang alik. Dengan satu tujuan. Mahu padamkan api yang sedang marak. Kerana di dalamnya ada nabi Ibrahim khalillullah.

Secara logik akalnya kita akan mengatakan mustahil untuk api itu padam dengan kuantiti air yang dibawa oleh burung itu dengan paruhnya. Saya merasakan barangkali burung itu juga tahu.

Namun burung tersebut tetap mahu berusaha untuk menyumbang. Menyumbang walaupun sedikit. Walaupun kadang-kadang dilihat dengan fikiran yang pesimis memang api itu tidak akan terpadam.

Namun dengan kuasa Allah, Allah perintahkan kepada api itu untuk sejuk. Sama sekali berlawanan dengan sifatnya yang membakar itu. Maka, nabi Allah Ibrahim selamat di dalamnya, malah merasa nyaman tanpa sedikit pun bahang.

Apa yang saya cuba tonjolkan di sini ialah semangat burung tersebut untuk menyumbang. Walaupun sedikit.

Tahniah saya ucapkan buat ibu-ibu yang telah memakaikan anak-anak mereka dengan lampin kain. Percayalah kalian, sumbangan kalian itu, tanpa kalian sedari, ianya antara pemberat timbangan kebaikan kalian di akhirat sana. Ameen.





Teruslah menyumbang. Jangan mengeluh kerana susah dan renyah, kerana susah itulah yang akan membahagiakan.

Perang nafas panjang

Artikel ini saya merasakan amat-amat penting, dan saya ingin meluaskan lagi sebarannya, moga-moga dapat diambil manfaat bersama. Artikel dari pendakwah muda Hilal Ashraf.

Ledakan kesedaran apabila berlakunya serangan tentera Israel Zionis ke atas Konvoi Bantuan Kemanusiaan Flotilla, Lifeline4Gaza saya pandang sebagai ‘spark’ apabila dua batu api dilagakan.

Tinggal sekarang, siapakah yang hendak menggunakan ‘spark’ yang wujud itu, mencucuhkannya pada dedaun kering agar muncul api yang menyala, kemudian disogokkan pula api kecil itu dengan ranting kecil membuatkannya membesar dan kuat, seterusnya diberikan kayu yang lebih besar agar ia lebih marak, akhirnya diberikan kayu-kayu besar untuk menjadikan nyalaannya kekal?

Hari ini, 2 Jun 2010, tawanan yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel telah dibebaskan. Tawanan Malaysia seramai 12 orang telah berada di Amman, Jordan. Sempat saya bersembang dengan Ustaz Hasanuddin yang juga merupakan keluarga saya, ternyata keadaan mereka selamat dan semuanya dalam keadaan yang baik walau diceritakan bahawa mereka dilayan dengan kasar oleh askar Israel.

Tawanan telah selamat. Jerit laung sudah semakin surut. Sungguh, kita sinonim dengan menang sorak. Hakikatnya Israel tidak tewas dengan pelepasan tahanan. Gaza terus terluka. Islam terus dihina. Justeru tidakkah kita melihat bahawa kita perlukan kefahaman yang jelas agar kemenangan berpihak pada kita?

Sungguh, jika saya, saya melancarkan perang nafas panjang kepada mereka.




Perang Nafas Panjang

Pasti ada yang bertanya, apakah itu perang nafas panjang yang saya kata. Hakikatnya ia adalah satu perancangan rapi yang mesti digerakkan dengan konsisten, penuh keimanan dan kepercayaan kepada janji Allah, sabar dan istiqomah adalah perisai ketahanan, dan taqwa adalah bekalan perjalanan.

Perang Nafas Panjang bukanlah gerakan solo yang dilakukan perseorangan. Bukan juga tindakan-tindakan yang memberikan kesan sementara tidak bermakna. Tetapi ianya satu pergerakan bersistematik yang kesannya amat utuh tak mampu digegarkan semua.

Sungguh, ianya popular dikenali dengan nama lain.

Dakwah dan tarbiyah

Itulah dia perang nafas panjang yang saya perkatakan.


Jahiliyyah dan perang nafas panjang mereka.

Kita melihat bahawa jahiliyyah yang dicanangkan oleh musuh-musuh Allah juga mempunyai sistem peperangan nafas panjang mereka. Kita melihat dengan lebih luas, betapa apa yang berlaku hari ini, apa yang ada di sekitar kita hari ini, adalah semuanya hasil perancangan yang telah mereka usahakan beratus tahun yang lepas.

Pemimpin-pemimpin dunia hari ini adalah produk didikan mereka. Suasana hari ini adalah acuan tangan mereka. Media hari ini adalah keluaran mereka. Hiburan, maksiat, dosa, semuanya diatur oleh mereka agar menjadi malakah(darah daging) dalam kehidupan kita. Mereka yang menyediakan itu dan ini, mengaturkan itu dan ini, agar kita terpenjara dalam ruang lingkup yang dikehendaki mereka.

Akhirnya, hari ini tiba. Mereka boleh menipu tanpa ada yang mampu bertindak terhadap mereka. Mereka mengawal ekonomi. Mereka mengawal suara pemimpin. Lihatlah betapa sikitnya yang ambil kisah dengan Islam dalam kehidupan mereka, lihatlah betapa sikitnya pula yang ambil kisah dengan Palestin sana, jangan dicerita pula betapa sikitnya yang berjuang di atas jalan Allah SWT.

Semuanya hasil perancangan mereka.

Adakah mereka mula menggerakkan perancangan mereka semalam?

Tidak.

Mereka telah bermula beratus tahun yang lampau.


Menang sorak sehari tak akan merubah apa-apa

Kita laknat mereka, kita doa kehancuran untuk mereka, tetapi kita tidak bergerak dalam arena perang nafas panjang, maka kita tidak akan mendapat apa-apa.

Hari ini mereka bebaskan orang ikut kehendak kita. Esok mereka bunuh lagi orang lain yang sama pentingnya, cuma mungkin kita tidak mengenalinya. Hari ini mereka berikan kita apa yang kita mahu, agar kita tambah alpa dan leka, rasa kemenangan sudah milik kita. Esok mereka gerakkan lagi perancangan yang lebih besar untuk memerangkap kita.

Hakikatnya, berapa ramai telah terbunuh di Palestin? Dari sebesar-besar sebuah negara, hingga tinggal wilayah Gaza sekangkang kera. Tidakkah orang Israel itu sentiasa berjaya? Sedang kita menang sorak sehari sahaja.

Kita kata itu dan ini, tetapi kehidupan tetap tidak berubah jua. Kita hanya lancang pada bicara, tetapi hidup tetap tidak kita ubah tatacaranya. Kita tetap hidup macam orang jahiliyyah hidup. Cuba soal semula diri kita, lihat kembali kehidupan kita. Apakah dari jahiliyyah yang telah kita korbankan dalam kehidupan kita? Bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT? Bagaimana pula hubungan kita dengan muslim lain di sekeliling kita?

Nyata, ummah tak akan diselamatkan oleh seorang hero.

Tetapi ia diselamatkan oleh satu generasi.

Rasulullah SAW dan para sahabat menjadi bukti akan hal ini.


Urgensi dakwah dan tarbiyah

Maka di sini kita perlu melihat kepada perang nafas panjang kita. Mungkin sahaja kejayaan itu tidak tiba hari ini, tetapi pastinya kalau kita menggerakkan agenda Perang Nafas Panjang ini, kita akan berjaya dalam satu jangka masa yang pasti.

Saya memberikan beberapa contoh perang nafas panjang yang telah berjalan.


1. Gerakan Dakwah Rasulullah SAW dan para sahabat. Walaupun hanya sempat berjalan selama 23 tahun sahaja, tetapi nilai gerakan da’wah atas dasar keimanan kepada Allah swt tetap terus berjalan hingga ke hari ini. Walaupun jasad Baginda telah tiada. Nilai 23 tahun hidupnya dakwah hingga ke hari ini masih dibicarakan, akhlak baginda, uslub dakwahnya, kaedah pemerintahan baginda. Hinggakan nama-nama para-para sahabat Nabi saw dijadikan nama anak-anak kita bg mengenang jiwa yang pernah hidup dan mencorak dunia hingga ke hari ini.



2. Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna. Ia ditubuhkan sekitar 80 tahun yang lepas. Kalau kita perhatikan, pengasasnya telah meninggal dunia lama dahulu. Tetapi hasil dakwah dan tarbiyah yang dijalankannya, kita dapat melihat dengan jelas betapa Ikhwanul Muslimin berperanan dalam menjana syu’ur Islam terhadap masyarakat hingga ke hari ini. Ikhwanul Muslimin telah melebarkan sayap ke seluruh dunia dan kini boleh dikatakan mempunyai pelbagai jenis persatuan yang terlahir mencontohi pergerakan Ikhwanul Muslimin. Ketua mereka telah meninggal dunia, tetapi mereka terus bergerak. Ahli-ahli mereka ramai dipenjara, tetapi mereka terus bergerak. Dakwah dan tarbiyah. Dakwah dan tarbiyah. Akhirnya mereka menghasilkan ramai peribadi-peribadi yang semuanya menajdi duta menyebarkan agama Allah SWT dalam bentuk yang jelas. Bila ia ditubuhkan? 80 tahun yang lalu. Bukan semalam


3. HAMAS. Ditubuhkan pada 1987. Sekitar 20 tahun yang lampau. Diasaskan oleh Syeikh Asy-Syahid Ahmad Yassin dan rakan-rakannya. Terhasil atas kesan daripada tarbiyah Ikhwanul Muslimin(lihat bagaimana dakwah dan tarbiyah itu menghasilkan kesan). Walaupun kelihatan ianya banyak berperang dengan senjata, tetapi HAMAS adalah satu pertubuhan dakwah dan tarbiyah juga. Mereka mengislah kehidupan masyarakat, menyebabkan masyarakat sangat cinta kepada mereka. Lebih dari itu, masyarakat bersatu dan berdiri di sisi mereka. Terlahir daripada tarbiyah mereka qudwah-qudwah yang menjadi ikutan dunia seperti Abd Aziz Rantisi, Yahya Ayyash, Khaled Mesyal. Kesan terbesar yang berjaya ditunjukkan adalah mereka memenangi pilihan raya walau baru pertama kali menyertai. Bahkan, segala kesukaran yang ditimpakan ke atas mereka tetap tidak menyebabkan rakyat meninggalkan mereka. Lihat. Bila ia ditubuhkan? 20 tahun yang lalu. Bukan semalam.


Apakah asas dua pertubuhan itu?

Dakwah dan tarbiyah. Ia membina kilang mereka sendiri, memproses manusia agar menjadi seperti mana yang Allah redhai. Manusia yang telah diproses ini pula memberikan kesan pula kepada manusia yang lain menyebabkan kewujudan manusia-manusia yang Allah redhai semakin banyak. Ia seakan satu sistem piramid, MLM, tetapi berani saya katakan ini adalah sistem MLM Ilahi yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dahulu.

Rasulullah SAW berdakwah kepada Abu Bakr RA, Abu Bakr RA pula mengajak Bilal bin Rabah, Uthman ibn Affan, Abdurrahman Ibn Auf, dan ramai lagi. Mereka yang ramai ini pula mengajak yang ramai lagi. Dan mereka mengikuti proses tarbiyah, mengislah kehidupan mereka, mengislah keimanan mereka, memantapkan kefahaman mereka, meningkatkan kesungguhan mereka terhadap ibadah dan menjadi seorang mukmin yang sebenarnya.

Dalam masa 23 tahun, Islam menjadi anutan seluruh jazirah arab. Dan tidak lama kemudian, menjadi pemerintah kepada 2/3 dunia. Sejarah telah merakamkan manusia-manusia seperti Umar Al-Khattab, Salahuddin Al-Ayubi, Muhammad Al-Fateh, Ilmuwan-ilmuwan Islam dan sebagainya yang dikagumi semua, ilmu-ilmu Islam yang advandce, wilayah-wilayah Islam yang jauh lebih maju, makmur dan aman.

Adakah ianya berlaku dalam masa sehari?

Tidak sama sekali. Ia telah digerakkan seawal hari pertama Rasulullah diutuskan. Dakwah dan tarbiyah.


Itulah dia perang nafas panjang, dan kita juga boleh melaksanakannya

Sewajibnya orang-orang yang beriman kepada Allah SWT memahami perkara ini dan melaksanakannya bermula kepada diri, keluarga dan masyarakat sekeliling.

Mulakan dengan mentarbiyah diri, kemudian berdakwahlah kepada ahli keluarga. Bina keluarga kita sebagaimana yang Allah redha, yang Allah mahu. Anak-anak kita yang soleh akan memberikan kesan kepada anak-anak orang lain di mana sahaja mereka berada. Isteri kita yang solehah dan terjaga akan menjadi model kepada wanita-wanita di sekelilingnya. Kita yang bersih akan menjadi contoh ikutan kepada semua. Keluarga kita yang bagus, baik akan menjadi qudwah kepada masyarakat.

Adik beradik, ayah ibu, abang kakak, semuanya kita usahakan.

Untuk pelajar bujang, bermula dengan diri, kemudian dengan rakan-rakan serumah, seterusnya rakan-rakan sekuliah.

Gerakkan dakwah dan tarbiyah. Pastikan ianya bergerak dengan konsisten. Bukan tembak dan lari. Tetapi pimpin dan bimbing. Kita bina bi’ah solehah di tengah badai jahiliyyah, menghasilkan satu perkara yang bernama uzlah syu’uriah tammah(pengasingan rasa secara total – orang lain suka jahiliyyah, kita di tengah mereka menggerakkan Islam – yang konsisten).

Jika musuh-musuh Allah menyebarkan suasana jahiliyyah, maka kita kena bina suasana solehah. Jika musuh-musuh Allah berikan hiburan jahiliyyah, maka kita kena masyhurkan hiburan yang menghidupkan jiwa. Jika musuh-musuh Allah membina pemimpin-pemimpin berotak taat mereka, kita membina pemimpin-pemimpin berotak taat kepada Allah.

Tetapi semestinya, membina bukanlah jalan yang sekejap. Ia memakan masa. Tetapi bagi yang percaya dan beriman kepadaNya, ini tetap akan digerakkan. Kerana inilah dia jalan kemenangan yang sebenarnya.

Inilah yang dilakukan mereka yang faham. Mereka inilah yang namanya bukan sekadar berdoa dan berharap. Bukan sekadar melaung dan menjerit. Mereka ini yang bukannya menang sorak sehari tetapi kemudian kalah berhari-hari.

Inilah dia orang-orang yang percaya. Yang yakin dan sabar dengan ujian-Nya.

Inilah dia, manusia yang akan menang pada akhirnya.

Perjalanan ini memang panjang. Tetapi kepanjangan itu, itulah yang terdekat dengan apa yang kita kehendaki – Redha Allah, keamanan hidup di dunia dan syurga di akhirat sana.

Perang nafas panjang, apakah kita telah melaksanakannya?


Perang Nafas Panjang membina aset

Rasulullah SAW tidak ada di atas muka bumi tika Islam menguasai 2/3 dunia. Yang menyaksikannya adalah aset kepada pewaris-pewaris yang telah dibina oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW membina sekelompok manusia di zamannya, sekelompok manusia itu membina pula manusia di zaman mereka, pergerakan ini berjalan dalam bentuk rantaian lantas menghasilkan hasil yang tiada siapa mampu menjangka.

Imam As-Syahid Hassan Al-Banna tidak ada di atas muka bumi tika Ikhwanul Muslimin telah tersebar ke merata dunia. Yang menyaksikan semua ini adalah aset kepada pewaris-pewaris yang telah dibina olehnya. Dia hanya membina sekelompok manusia sekelompok manusia itu membina pula manusia di zaman mereka, pergerakan ini berjalan dalam bentuk rantaian lantas menghasilkan hasil yang tiada siapa mampu menjangka.

Sheikh Asy-Syahid Ahmad Yassin tidak ada di atas muka bumi tika Hamas memenangi pilihanraya dan menguasai Gaza sebagai kerajaan yang legal. Yang menyaksikannya adalah aset kepada pewaris-pewaris yang telah dibina olehnya. Dia hanya membina sekelompok manusia di zamannya, sekelompok manusia itu membina pula manusia di zaman mereka, pergerakan ini berjalan dalam bentuk rantaian lantas menghasilkan hasil yang tiada siapa mampu menjangka.

Tinggal kita, apakah kita hendak percaya akan taktik Perang Nafas Panjang ini?

Sungguh, yang percaya dan mampu melaksanakannya hanyalah yang benar keimanannya kepada Dia.

Tidakkah anda teruja untuk menyertai kafilah syurga?




Penutup: Kalau benar serius, itulah dia jalannya

Perang Nafas Panjang tidak akan mampu dilaksanakan oleh orang yang tidak faham akan permasalahan Palestina yang sebenarnya. Idea ini juga tidak akan mampu ditangkap oleh orang yang tidak faham akan tujuannya berada di atas muka bumi Allah ini. Idea ini juga tidak akan mampu difahami oleh mereka yang tidak melihat Islam adalah cara hidup yang sebenarnya.

Dakwah dan tarbiyah, kalau benar serius untuk menewaskan Israel, menewaskan musuh-musuh Allah, maka itula dia jalannya.

Anda boleh kaji perjalanan Rasulullah SAW. Baginda hakikatnya mempunyai tiga pilihan di awal dakwahnya.

1. Baginda mempunyai pilihan untuk membuat revolusi. Baginda boleh kumpulkan rakyat-rakyat miskin, mereka yang tertindas, yang nyata merupakan majoriti dalam masyarakat, untuk menumbangkan terus Pemimpin Makkah dan mengambil alih tampuk pemerintahan, kemudian barulah menyebarkan kefahaman Islam mendidik rakyat. Tetapi Rasulullah tidak berbuat sedemikian.

2. Baginda mempunyai pilihan menerima tawaran menjadi Raja Arab apabila pemimpin Quraisy menawarkannya sedemikian sebagai ganti untuk tidak meneruskan dakwah da tarbiyah baginda. Baginda sepatutnya boleh sahaja menerima tawaran itu dan kemudian apabila telah menjadi raja, baginda sebarkan Islam. Kerana masyarakat arab memang akan mengikut rajanya. Tetapi Rasulullah tidak berbuat demikian.

3. Baginda bermula dari kosong, melaksanakan dakwah dan tarbiyah, mengajak hati-hati yang bersih dan membina mereka lalu tumbuh di tengah masyarakat jahiliyyah cahaya-cahaya petunjuk untuk kehidupan mereka. Tetapi cara ini sukar dan panjang. Namun kita lihat, Rasulullah memilih jalan ini.


Kenapa pilihan ketiga? Kenapa tidak yang pertama yang kedua?

Hal ini kerana, keimanan dan kefahaman itulah yang perlu diperkukuh fahamkan, ditanam kemas dalam kehidupan masyarakat, barulah masyarakat itu akan membentuk satu kesatuan menyokong kehidupan Islam dalam bentuk amalan bukan sekadar semangat. Bila keimanan dan kefahaman telah kukuh, barulah bila dibinanya kerajaan, rakyat akan menyokong penuh. Bila hendak digerakkan ketenteraan, kekuatannya berkali ganda utuh.

Apakah rahsia Islam bertahan menjadi pemerintah dunia selama 1400 tahun lebih?

Inilah dia. Perang Nafas Panjang. Dakwah dan Tarbiyah.

Jika benar hendak tewaskan musuh-musuh Allah, maka inilah dia caranya


Sumber

Masa

Dahulu, sebelum berkahwin, ruang masa amat-amat banyak, masih terluang untuk diisikan.

Sekarang, selepas berkahwin dan dianugerahkan cahayamata, terasa seperti 24 jam itu tidak cukup.

Dahulu sebelum berkahwin, nilai satu minit itu dianggap biasa-biasa sahaja.

Kini, selepas berkahwin, walaupun satu saat dirasakan amat-amat berharga.

Perkahwinan sebenarnya mengajar dan menyedarkan saya betapa masa itu terlalu berharga.

Terasa bahawa saya baru memahami dan menyelami perumpamaan-perumpamaan mengenai masa.

“Masa itu emas”
“Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu”


Anugerah bersama tarbiyyah


Tatkala saya dan suami dianugerahkan cahayamata, Muhammad al Fateh, sangat-sangat terasa bahawa kami memasuki satu madrasah baru yang belum pernah dijejaki.

Kami dididik melalui Muhammad al Fateh. Didikan yang lapangannya terlalu luas.
- Pembahagian masa
- Pengawalan emosi
- Pemeliharaan hak
- Pengurusan persekitaran dan banyak lagi.

Setiap satu pembahagian ini mempunyai sub-sub yang pelbagai.
Yang pastinya, saya dan suami amat-amat bersyukur kerana dinugerahkan peluang didikan secara langsung ini.

Didikan yang tidak mungkin didapati dimana-mana pusat pengajian di dunia ini. Didikan yang boleh dikecapi hanya dengan izin dan ketetapannNya.

Munajat dan doa saya semoga saya dan suami juga semua hamba-hambaNya diizinkan terus untuk mengecapi nikmat ini. Ameen..

Allah tidak akan mengurniakan 24 jam kepada kita seandainya jumlah masa yang sebanyak itu tidak mencukupi buat kita. Jumlah 24 jam itu sebenarnya cukup, tinggal kebijaksanaan kita sahaja mengurus dan memanfaatkannya.

Benarlah firman Allah buat hamba-hambaNya: Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian,kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan berpesan-pesan kepada kebenaran, berpesan-pesan kepada kesabaran. (al-asr: 1-3)



Tarbiyyah Allah melalui anugerahnya ini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © Tafakkur, tadabbur... | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in