Perang nafas panjang

Artikel ini saya merasakan amat-amat penting, dan saya ingin meluaskan lagi sebarannya, moga-moga dapat diambil manfaat bersama. Artikel dari pendakwah muda Hilal Ashraf.

Ledakan kesedaran apabila berlakunya serangan tentera Israel Zionis ke atas Konvoi Bantuan Kemanusiaan Flotilla, Lifeline4Gaza saya pandang sebagai ‘spark’ apabila dua batu api dilagakan.

Tinggal sekarang, siapakah yang hendak menggunakan ‘spark’ yang wujud itu, mencucuhkannya pada dedaun kering agar muncul api yang menyala, kemudian disogokkan pula api kecil itu dengan ranting kecil membuatkannya membesar dan kuat, seterusnya diberikan kayu yang lebih besar agar ia lebih marak, akhirnya diberikan kayu-kayu besar untuk menjadikan nyalaannya kekal?

Hari ini, 2 Jun 2010, tawanan yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel telah dibebaskan. Tawanan Malaysia seramai 12 orang telah berada di Amman, Jordan. Sempat saya bersembang dengan Ustaz Hasanuddin yang juga merupakan keluarga saya, ternyata keadaan mereka selamat dan semuanya dalam keadaan yang baik walau diceritakan bahawa mereka dilayan dengan kasar oleh askar Israel.

Tawanan telah selamat. Jerit laung sudah semakin surut. Sungguh, kita sinonim dengan menang sorak. Hakikatnya Israel tidak tewas dengan pelepasan tahanan. Gaza terus terluka. Islam terus dihina. Justeru tidakkah kita melihat bahawa kita perlukan kefahaman yang jelas agar kemenangan berpihak pada kita?

Sungguh, jika saya, saya melancarkan perang nafas panjang kepada mereka.




Perang Nafas Panjang

Pasti ada yang bertanya, apakah itu perang nafas panjang yang saya kata. Hakikatnya ia adalah satu perancangan rapi yang mesti digerakkan dengan konsisten, penuh keimanan dan kepercayaan kepada janji Allah, sabar dan istiqomah adalah perisai ketahanan, dan taqwa adalah bekalan perjalanan.

Perang Nafas Panjang bukanlah gerakan solo yang dilakukan perseorangan. Bukan juga tindakan-tindakan yang memberikan kesan sementara tidak bermakna. Tetapi ianya satu pergerakan bersistematik yang kesannya amat utuh tak mampu digegarkan semua.

Sungguh, ianya popular dikenali dengan nama lain.

Dakwah dan tarbiyah

Itulah dia perang nafas panjang yang saya perkatakan.


Jahiliyyah dan perang nafas panjang mereka.

Kita melihat bahawa jahiliyyah yang dicanangkan oleh musuh-musuh Allah juga mempunyai sistem peperangan nafas panjang mereka. Kita melihat dengan lebih luas, betapa apa yang berlaku hari ini, apa yang ada di sekitar kita hari ini, adalah semuanya hasil perancangan yang telah mereka usahakan beratus tahun yang lepas.

Pemimpin-pemimpin dunia hari ini adalah produk didikan mereka. Suasana hari ini adalah acuan tangan mereka. Media hari ini adalah keluaran mereka. Hiburan, maksiat, dosa, semuanya diatur oleh mereka agar menjadi malakah(darah daging) dalam kehidupan kita. Mereka yang menyediakan itu dan ini, mengaturkan itu dan ini, agar kita terpenjara dalam ruang lingkup yang dikehendaki mereka.

Akhirnya, hari ini tiba. Mereka boleh menipu tanpa ada yang mampu bertindak terhadap mereka. Mereka mengawal ekonomi. Mereka mengawal suara pemimpin. Lihatlah betapa sikitnya yang ambil kisah dengan Islam dalam kehidupan mereka, lihatlah betapa sikitnya pula yang ambil kisah dengan Palestin sana, jangan dicerita pula betapa sikitnya yang berjuang di atas jalan Allah SWT.

Semuanya hasil perancangan mereka.

Adakah mereka mula menggerakkan perancangan mereka semalam?

Tidak.

Mereka telah bermula beratus tahun yang lampau.


Menang sorak sehari tak akan merubah apa-apa

Kita laknat mereka, kita doa kehancuran untuk mereka, tetapi kita tidak bergerak dalam arena perang nafas panjang, maka kita tidak akan mendapat apa-apa.

Hari ini mereka bebaskan orang ikut kehendak kita. Esok mereka bunuh lagi orang lain yang sama pentingnya, cuma mungkin kita tidak mengenalinya. Hari ini mereka berikan kita apa yang kita mahu, agar kita tambah alpa dan leka, rasa kemenangan sudah milik kita. Esok mereka gerakkan lagi perancangan yang lebih besar untuk memerangkap kita.

Hakikatnya, berapa ramai telah terbunuh di Palestin? Dari sebesar-besar sebuah negara, hingga tinggal wilayah Gaza sekangkang kera. Tidakkah orang Israel itu sentiasa berjaya? Sedang kita menang sorak sehari sahaja.

Kita kata itu dan ini, tetapi kehidupan tetap tidak berubah jua. Kita hanya lancang pada bicara, tetapi hidup tetap tidak kita ubah tatacaranya. Kita tetap hidup macam orang jahiliyyah hidup. Cuba soal semula diri kita, lihat kembali kehidupan kita. Apakah dari jahiliyyah yang telah kita korbankan dalam kehidupan kita? Bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT? Bagaimana pula hubungan kita dengan muslim lain di sekeliling kita?

Nyata, ummah tak akan diselamatkan oleh seorang hero.

Tetapi ia diselamatkan oleh satu generasi.

Rasulullah SAW dan para sahabat menjadi bukti akan hal ini.


Urgensi dakwah dan tarbiyah

Maka di sini kita perlu melihat kepada perang nafas panjang kita. Mungkin sahaja kejayaan itu tidak tiba hari ini, tetapi pastinya kalau kita menggerakkan agenda Perang Nafas Panjang ini, kita akan berjaya dalam satu jangka masa yang pasti.

Saya memberikan beberapa contoh perang nafas panjang yang telah berjalan.


1. Gerakan Dakwah Rasulullah SAW dan para sahabat. Walaupun hanya sempat berjalan selama 23 tahun sahaja, tetapi nilai gerakan da’wah atas dasar keimanan kepada Allah swt tetap terus berjalan hingga ke hari ini. Walaupun jasad Baginda telah tiada. Nilai 23 tahun hidupnya dakwah hingga ke hari ini masih dibicarakan, akhlak baginda, uslub dakwahnya, kaedah pemerintahan baginda. Hinggakan nama-nama para-para sahabat Nabi saw dijadikan nama anak-anak kita bg mengenang jiwa yang pernah hidup dan mencorak dunia hingga ke hari ini.



2. Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna. Ia ditubuhkan sekitar 80 tahun yang lepas. Kalau kita perhatikan, pengasasnya telah meninggal dunia lama dahulu. Tetapi hasil dakwah dan tarbiyah yang dijalankannya, kita dapat melihat dengan jelas betapa Ikhwanul Muslimin berperanan dalam menjana syu’ur Islam terhadap masyarakat hingga ke hari ini. Ikhwanul Muslimin telah melebarkan sayap ke seluruh dunia dan kini boleh dikatakan mempunyai pelbagai jenis persatuan yang terlahir mencontohi pergerakan Ikhwanul Muslimin. Ketua mereka telah meninggal dunia, tetapi mereka terus bergerak. Ahli-ahli mereka ramai dipenjara, tetapi mereka terus bergerak. Dakwah dan tarbiyah. Dakwah dan tarbiyah. Akhirnya mereka menghasilkan ramai peribadi-peribadi yang semuanya menajdi duta menyebarkan agama Allah SWT dalam bentuk yang jelas. Bila ia ditubuhkan? 80 tahun yang lalu. Bukan semalam


3. HAMAS. Ditubuhkan pada 1987. Sekitar 20 tahun yang lampau. Diasaskan oleh Syeikh Asy-Syahid Ahmad Yassin dan rakan-rakannya. Terhasil atas kesan daripada tarbiyah Ikhwanul Muslimin(lihat bagaimana dakwah dan tarbiyah itu menghasilkan kesan). Walaupun kelihatan ianya banyak berperang dengan senjata, tetapi HAMAS adalah satu pertubuhan dakwah dan tarbiyah juga. Mereka mengislah kehidupan masyarakat, menyebabkan masyarakat sangat cinta kepada mereka. Lebih dari itu, masyarakat bersatu dan berdiri di sisi mereka. Terlahir daripada tarbiyah mereka qudwah-qudwah yang menjadi ikutan dunia seperti Abd Aziz Rantisi, Yahya Ayyash, Khaled Mesyal. Kesan terbesar yang berjaya ditunjukkan adalah mereka memenangi pilihan raya walau baru pertama kali menyertai. Bahkan, segala kesukaran yang ditimpakan ke atas mereka tetap tidak menyebabkan rakyat meninggalkan mereka. Lihat. Bila ia ditubuhkan? 20 tahun yang lalu. Bukan semalam.


Apakah asas dua pertubuhan itu?

Dakwah dan tarbiyah. Ia membina kilang mereka sendiri, memproses manusia agar menjadi seperti mana yang Allah redhai. Manusia yang telah diproses ini pula memberikan kesan pula kepada manusia yang lain menyebabkan kewujudan manusia-manusia yang Allah redhai semakin banyak. Ia seakan satu sistem piramid, MLM, tetapi berani saya katakan ini adalah sistem MLM Ilahi yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dahulu.

Rasulullah SAW berdakwah kepada Abu Bakr RA, Abu Bakr RA pula mengajak Bilal bin Rabah, Uthman ibn Affan, Abdurrahman Ibn Auf, dan ramai lagi. Mereka yang ramai ini pula mengajak yang ramai lagi. Dan mereka mengikuti proses tarbiyah, mengislah kehidupan mereka, mengislah keimanan mereka, memantapkan kefahaman mereka, meningkatkan kesungguhan mereka terhadap ibadah dan menjadi seorang mukmin yang sebenarnya.

Dalam masa 23 tahun, Islam menjadi anutan seluruh jazirah arab. Dan tidak lama kemudian, menjadi pemerintah kepada 2/3 dunia. Sejarah telah merakamkan manusia-manusia seperti Umar Al-Khattab, Salahuddin Al-Ayubi, Muhammad Al-Fateh, Ilmuwan-ilmuwan Islam dan sebagainya yang dikagumi semua, ilmu-ilmu Islam yang advandce, wilayah-wilayah Islam yang jauh lebih maju, makmur dan aman.

Adakah ianya berlaku dalam masa sehari?

Tidak sama sekali. Ia telah digerakkan seawal hari pertama Rasulullah diutuskan. Dakwah dan tarbiyah.


Itulah dia perang nafas panjang, dan kita juga boleh melaksanakannya

Sewajibnya orang-orang yang beriman kepada Allah SWT memahami perkara ini dan melaksanakannya bermula kepada diri, keluarga dan masyarakat sekeliling.

Mulakan dengan mentarbiyah diri, kemudian berdakwahlah kepada ahli keluarga. Bina keluarga kita sebagaimana yang Allah redha, yang Allah mahu. Anak-anak kita yang soleh akan memberikan kesan kepada anak-anak orang lain di mana sahaja mereka berada. Isteri kita yang solehah dan terjaga akan menjadi model kepada wanita-wanita di sekelilingnya. Kita yang bersih akan menjadi contoh ikutan kepada semua. Keluarga kita yang bagus, baik akan menjadi qudwah kepada masyarakat.

Adik beradik, ayah ibu, abang kakak, semuanya kita usahakan.

Untuk pelajar bujang, bermula dengan diri, kemudian dengan rakan-rakan serumah, seterusnya rakan-rakan sekuliah.

Gerakkan dakwah dan tarbiyah. Pastikan ianya bergerak dengan konsisten. Bukan tembak dan lari. Tetapi pimpin dan bimbing. Kita bina bi’ah solehah di tengah badai jahiliyyah, menghasilkan satu perkara yang bernama uzlah syu’uriah tammah(pengasingan rasa secara total – orang lain suka jahiliyyah, kita di tengah mereka menggerakkan Islam – yang konsisten).

Jika musuh-musuh Allah menyebarkan suasana jahiliyyah, maka kita kena bina suasana solehah. Jika musuh-musuh Allah berikan hiburan jahiliyyah, maka kita kena masyhurkan hiburan yang menghidupkan jiwa. Jika musuh-musuh Allah membina pemimpin-pemimpin berotak taat mereka, kita membina pemimpin-pemimpin berotak taat kepada Allah.

Tetapi semestinya, membina bukanlah jalan yang sekejap. Ia memakan masa. Tetapi bagi yang percaya dan beriman kepadaNya, ini tetap akan digerakkan. Kerana inilah dia jalan kemenangan yang sebenarnya.

Inilah yang dilakukan mereka yang faham. Mereka inilah yang namanya bukan sekadar berdoa dan berharap. Bukan sekadar melaung dan menjerit. Mereka ini yang bukannya menang sorak sehari tetapi kemudian kalah berhari-hari.

Inilah dia orang-orang yang percaya. Yang yakin dan sabar dengan ujian-Nya.

Inilah dia, manusia yang akan menang pada akhirnya.

Perjalanan ini memang panjang. Tetapi kepanjangan itu, itulah yang terdekat dengan apa yang kita kehendaki – Redha Allah, keamanan hidup di dunia dan syurga di akhirat sana.

Perang nafas panjang, apakah kita telah melaksanakannya?


Perang Nafas Panjang membina aset

Rasulullah SAW tidak ada di atas muka bumi tika Islam menguasai 2/3 dunia. Yang menyaksikannya adalah aset kepada pewaris-pewaris yang telah dibina oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW membina sekelompok manusia di zamannya, sekelompok manusia itu membina pula manusia di zaman mereka, pergerakan ini berjalan dalam bentuk rantaian lantas menghasilkan hasil yang tiada siapa mampu menjangka.

Imam As-Syahid Hassan Al-Banna tidak ada di atas muka bumi tika Ikhwanul Muslimin telah tersebar ke merata dunia. Yang menyaksikan semua ini adalah aset kepada pewaris-pewaris yang telah dibina olehnya. Dia hanya membina sekelompok manusia sekelompok manusia itu membina pula manusia di zaman mereka, pergerakan ini berjalan dalam bentuk rantaian lantas menghasilkan hasil yang tiada siapa mampu menjangka.

Sheikh Asy-Syahid Ahmad Yassin tidak ada di atas muka bumi tika Hamas memenangi pilihanraya dan menguasai Gaza sebagai kerajaan yang legal. Yang menyaksikannya adalah aset kepada pewaris-pewaris yang telah dibina olehnya. Dia hanya membina sekelompok manusia di zamannya, sekelompok manusia itu membina pula manusia di zaman mereka, pergerakan ini berjalan dalam bentuk rantaian lantas menghasilkan hasil yang tiada siapa mampu menjangka.

Tinggal kita, apakah kita hendak percaya akan taktik Perang Nafas Panjang ini?

Sungguh, yang percaya dan mampu melaksanakannya hanyalah yang benar keimanannya kepada Dia.

Tidakkah anda teruja untuk menyertai kafilah syurga?




Penutup: Kalau benar serius, itulah dia jalannya

Perang Nafas Panjang tidak akan mampu dilaksanakan oleh orang yang tidak faham akan permasalahan Palestina yang sebenarnya. Idea ini juga tidak akan mampu ditangkap oleh orang yang tidak faham akan tujuannya berada di atas muka bumi Allah ini. Idea ini juga tidak akan mampu difahami oleh mereka yang tidak melihat Islam adalah cara hidup yang sebenarnya.

Dakwah dan tarbiyah, kalau benar serius untuk menewaskan Israel, menewaskan musuh-musuh Allah, maka itula dia jalannya.

Anda boleh kaji perjalanan Rasulullah SAW. Baginda hakikatnya mempunyai tiga pilihan di awal dakwahnya.

1. Baginda mempunyai pilihan untuk membuat revolusi. Baginda boleh kumpulkan rakyat-rakyat miskin, mereka yang tertindas, yang nyata merupakan majoriti dalam masyarakat, untuk menumbangkan terus Pemimpin Makkah dan mengambil alih tampuk pemerintahan, kemudian barulah menyebarkan kefahaman Islam mendidik rakyat. Tetapi Rasulullah tidak berbuat sedemikian.

2. Baginda mempunyai pilihan menerima tawaran menjadi Raja Arab apabila pemimpin Quraisy menawarkannya sedemikian sebagai ganti untuk tidak meneruskan dakwah da tarbiyah baginda. Baginda sepatutnya boleh sahaja menerima tawaran itu dan kemudian apabila telah menjadi raja, baginda sebarkan Islam. Kerana masyarakat arab memang akan mengikut rajanya. Tetapi Rasulullah tidak berbuat demikian.

3. Baginda bermula dari kosong, melaksanakan dakwah dan tarbiyah, mengajak hati-hati yang bersih dan membina mereka lalu tumbuh di tengah masyarakat jahiliyyah cahaya-cahaya petunjuk untuk kehidupan mereka. Tetapi cara ini sukar dan panjang. Namun kita lihat, Rasulullah memilih jalan ini.


Kenapa pilihan ketiga? Kenapa tidak yang pertama yang kedua?

Hal ini kerana, keimanan dan kefahaman itulah yang perlu diperkukuh fahamkan, ditanam kemas dalam kehidupan masyarakat, barulah masyarakat itu akan membentuk satu kesatuan menyokong kehidupan Islam dalam bentuk amalan bukan sekadar semangat. Bila keimanan dan kefahaman telah kukuh, barulah bila dibinanya kerajaan, rakyat akan menyokong penuh. Bila hendak digerakkan ketenteraan, kekuatannya berkali ganda utuh.

Apakah rahsia Islam bertahan menjadi pemerintah dunia selama 1400 tahun lebih?

Inilah dia. Perang Nafas Panjang. Dakwah dan Tarbiyah.

Jika benar hendak tewaskan musuh-musuh Allah, maka inilah dia caranya


Sumber

3 comments:

  1. artikel yang bagus untuk insan mudah lupa mcm akak ni. terima kasih,Hani....

    BalasPadam
  2. betulkan kak fiza, memang kita kadang-kadang terlupa. artikel daripada adik hilal ni amat2 bagus. Terasa diri ditarbiyyah.

    BalasPadam
  3. Salam perkenalan...
    Allah masih memberi peluang kepada puak Israel..
    Semoga perjuangan kita dapat diteruskan..
    InsyAllah..

    BalasPadam

Saya sangat suka dan sangat hargai komen anda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © Tafakkur, tadabbur... | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in