Bertazkirah sebentar..

Salam


Anak kecil ini mula berkomunikasi dengan alam, secara langsung, dengan dirinya. Tergambar keseronokan di wajah kecil ini bila ibu dan baba memberikan sepenuh kebebasan kepadanya untuk dia meneroka alam ini. Tidak lagi dikawal, namun masih dalam perhatian. Bukan dibiarkan, tapi memberikan peluang dan ruang untuknya rasa dipercayai, untuk dia membina keyakinan. Walaupun masih mentah dan tersangat kecil, namun perlu dilatih, agar kelak tidak lagi tertatih.






Benda pertama yang disentuh oleh fateh ialah tanah. Disentuh tatkala terjatuh. Ibu dan baba membiarkan fateh bangun sendiri, hanya melihat, tidak membantu, supaya dia belajar untuk bangun apabila terjatuh. Kerana mereka yang tidak pernah jatuh, tidak akan tahu bagaimana caranya untuk bangun semula.

Tertarik untuk membicarakan tentang tanah. Juga ingin berkongsi kuliah perbandingan agama tempoh hari. Tanah satu unsur penting dalam alam. Juga merupakan asal kejadian adam a.s.. Dan Allah mengingatkan bahawa asal kejadian bukan menjadi ukuran untuk meletakkan diri lebih mulia dari yang lain. Sebagaimana murkanya Allah pada Iblis laknatullah, kerana teganya dia mengambil sifat yang layak hanya pada al Khaliq. Sifat takabbur, merasa diri besar, merasa diri mulia, hanya kerana api asal kejadiannya.

Jika saya, kamu, awak dan kita semua mengamati semula peristiwa dan kejadian dalam syurga, kita akan dapat merasakan bahawa apa yang berlaku di syurga merupakan satu latihan dan gambaran awal tentang hakikat kehidupan di dunia. Bagaimana?
Begini, dalam syurga Allah s.w.t memberikan segala macam nikmat, segala bentuk kesenangan, kamu boleh nikmati yang ini, kamu boleh ambil yang itu tapi jangan ambil yang ini, jangan makan buah pohon ini. Kalau langgar larangan ini maka akibatnya begini. Maka apa yang terjadi? Iblis dengan janjinya pada tuhan untuk menyesatkan manusia sampai saat akhirnya dunia mula memainkan peranan. Adam a.s mula dihasut. Dalam pendapat kebanyakan ulama’ adam a.s termakan pohon buah itu kerana terlupa( sebahagian ahli ilmu menamakan pohon itu adalah pohon khuldi, namun jumhur ulama’ menidakkan kerana khuldi itu ialah nama yang diberikan syaitan lantaran sesiapa yang memakan buah itu akan terus kekal dalam syurga Allah. Khuldi dalam bahasa arab bermaksud kekal).

Satu pengajaran buat kita: Jangan sesekali percaya pada hasutan syaitan walaupun sebesar zarah. Buang jauh bisikan-bisikan halus tersebut.
Maka kaitannya dengan realiti kehidupan di dunia begitu juga, Allah s.w.t memberikan segala bentuk kenikmatan kepada kita, Juga jangan lupa Allah s.w.t meletakkan beberapa batasan-batasan yang mana kita tidak boleh melanggarnya. Jika tidak maka tunggu akan janjinya. JanjiNya pasti!

0 comments:

Catat Ulasan

Saya sangat suka dan sangat hargai komen anda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © Tafakkur, tadabbur... | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in