Aura ilmu



Perwatakannya bersahaja, tenang menyerlah pada wajahnya, bagaikan tiada masalah yang bertamu, walaupun berjauhan dengan keluarga tercinta, namun atas dasar tanggungjawab ilmu, beliau abaikan runtunan-runtunan sampingan itu. Beliau seorang yang sentiasa menyelitkan galakkan, motivasi dalam kuliah yang disampaikan. Prof. Madya Dr. Ahmad Hasyim. Sifatnya yang ke’bapa’an membuatkan saya juga pelajar-pelajar yang lain tenggelam dalam dakapan asuhan dan tarbiyyah ilmu-ilmunya.

Masih saya ingat awal-awal pengajian dahulu, betapa beliau bersungguh-sungguh menasihatkan kami supaya memaksimumkan kesungguhan dalam menuntut ilmu. Beliau faham, sebahagian daripada kami ada yang bekerja, faktor penyumbang kepada kurangnya perhatian pada pembelajaran, namun beliau menyuntik kata-kata semangat, bahawa Allah s.w.t akan membuka jalan dan memudahkan hamba-hambaNya yang berusaha dan tulus niatnya. Jangan jadikan sibuk sebagai alasan untuk kita abaikan ilmu, juga abaikan menghafaz ayat-ayat al Quran. Semakin sibuk seseorang itu, semakin bertambah kecekapannya membahagikan masa. Benar…saya merasainya!

Ibarat budak baru belajar

Kuliah sabtu baru-baru ini berjalan dalam bentuk perbincangan dan soal jawab lisan bersama. Beliau menekankan, jangan malu untuk menjawab, jawapan betul atau salah bukan ukuran, yang penting kita mencuba, ibarat anak kecil yang memakai selipar… terus fikiran saya melayang kepada al fateh yang selalu memakai selipar saya dan babanya, selipar kaki kanan dipakai disebelah kiri, begitu juga sebaliknya, kadang-kadang sarungan selipar itu juga tidak kena pada tempatnya. Namun itu semua hakikatnya merupakan satu proses pembelajaran yang mesti dilalui sebelum menggapai fasa-fasa kejayaan. Sampai begitu sekali beliau mengingatkan kami. Terima kasih Dr. Hasyim, moga Allah rahmati dirimu dunia akhirat. Amen. Juga doa saya buat semua guru-guru, pensyarah-pensyarah yang telah dan akan menabur ilmu kepada saya, juga buat semua mereka yang berjuang dalam menyerapi ilmu-ilmuNya yang tidak akan habis sampai bila-bila. Selepas kelas dalam pukul 5.30 petang, saya dan suami bergegas untuk pulang, kerana di sana ada satu lagi majlis ilmu yang menanti….


Nikmatnya Ilmu

Roh yang paling awal diciptakan ialah roh Rasulullah s.a.w. Manakala jasad terawal diciptakan ialah jasad nabi Allah Adam a.s. Jasad Rasulullah pula merupakan jasad dari kalangan Nabi yang terakhir sekali diciptakan. Lantaran itulah Rasulullah digelar sebagai penghulu orang-orang beriman awal dan akhir. SubhanaLLah!

Ini merupakan antara isi muqaddimah yang dikupas oleh Syeikh Mohammad Fuad Kamaluddin al Maliki. Alhamdulillah, saya dan suami juga putera lincah kami al Fateh berkesempatan menghadiri ceramah beliau di Manong, Kuala Kangsar. Walaupun saya dan suami dari Alor Setar kerana menghadiri kelas, namun alhamdulillah….Allah ,masih beri kesempatan dan peluang untuk kami menghadiri satu lagi majlis Ilmu. Tambahan pula syeikh tersebut merupakan Tok Guru suami semasa beliau belajar di Rembau suatu ketika dahulu.

Dahulu, semasa bermusafir di bumi anbiya’ itu, saya berkesempatan bertalaqqi ilmu-ilmu daripada para ulama’ di sana. Nikmatnya masa itu. Nikmat yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Sungguh, menuntut ilmu, berada dalam majlis-majlis ilmu, bertalaqqi, semuanya mempunyai zuuq ilmu. Merasai akan zuuq ilmu itu juga merupakan anugerah. Semoga Allah akan sentiasa sibukkan saya, suami juga anak kami dengan ilmu-ilmuNya yang tidak terhitung itu. Amen.

0 comments:

Catat Ulasan

Saya sangat suka dan sangat hargai komen anda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Copyright © Tafakkur, tadabbur... | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in